utama

Berkubang tangkap ikan

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Keheningan pagi di Kampung Padang Tembesu, di sini, bertukar riuh dengan suara penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam pertandingan Igak Ike Darat di sawah padi, semalam.

Pertandingan bermula seawal jam 8 pagi itu terbuka kepada semua peringkat umur dan golongan menarik penyertaan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penduduk sekitar.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu tangkapan terberat dan terbanyak.

Seorang peserta, Mohammad Hadi Adha Yusof, 21, berkata, sebaik mengetahui pertandingan itu, dia teruja untuk menyertainya.

“Saya datang awal hari ini (semalam) untuk mendaftarkan diri sebelum terjun ke dalam bendang bersama 97 peserta lain sebaik saja wisel dibunyikan.

“Lima minit pertama sukar menangkap ikan kerana peserta masih gembira dapat ‘berkubang’ dalam selut. Hampir 10 minit saya mencari, akhirnya berjaya menangkap ikan haruan,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan terbabit.

Dalam pertandingan itu, Mohammad Hadi dinobatkan johan bagi kategori ikan terbanyak selepas memperoleh 10 ikan.

Menurutnya, biarpun hanya menawarkan hadiah hamper, dia berpuas hati dapat melepaskan gian ‘berkubang’ dengan peserta lain sekali gus mengimbau kenangan ketika zaman kanak-kanak.

“Terima kasih kepada penganjur. Saya berharap program ini dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pengarah program, Anuar Mohamad, 50, berkata, pertandingan itu julung kali dianjurkan di kampung itu.

“Kita nak eratkan hubungan yang renggang dan tegang selepas pilihan raya umum lalu dan alhamdulillah ia berjaya,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid at-Taqwa.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 6:38am
d