utama

Ketepi bakat demi rupa

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Sindrom ‘sumpahan’ menimpa pelakon yang menang anugerah bukan perkara baru, malah ia sering diperkatakan ramai pelakon tempatan.

Antaranya ialah Kodi Rashid dan Raja Ilya. Ini termasuk Adam Shahz yang pernah mencipta sejarah apabila memenangi kategori Pelakon Baru Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) menerusi filem Juvana 2, dua tahun lalu.

Adam menganggap industri hiburan tempatan memiliki konsep salah dari segi pemilihan pelakon.

“Kita hanya melihat pelakon itu dari segi indahnya saja walaupun bakat lakonannya tidak seberapa. Saya faham kenapa kebanyakan stesen televisyen mahukan pelakon yang cantik dan kacak, tapi mereka yang berlakon sebab bakat diketepikan,” katanya.

Katanya, kebanyakan pelakon yang mempunyai semangat sepertinya sudah berada pada tahap reda kerana sudah lama berjuang mengenai isu ini.

Adam berkata, pelakon sedia ada tiada asas kuat kerana memasuki industri hiburan melalui populariti mendadak di laman sosial.

Apa yang mereka tahu adalah untuk ketengahkan diri dan mahu masyarakat menyukai mereka.

“Saya pernah tengok watak dalam drama yang langsung tidak sesuai. Tidak semestinya kena ambil saya tetapi biarlah ia diberikan kepada pelakon yang bersesuaian.

“Suatu ketika dulu saya sendiri pernah tolak tawaran sebagai hero untuk sebuah telefilem dan apabila baca skrip, saya tidak nampak watak itu sesuai pun untuk saya,” katanya.

Adam berkata, produksi telefilem itu memberi alasan mahu menawarkan watak utama kerana namanya sedang popular ketika itu.

Bagi Adam, alasan itu tidak wajar kerana ia akan merosakkan watak dan perkembangan jalan ceritanya.

Selepas ditanya pengarah siapakah yang sesuai untuk watak itu, Adam mencadangkan sahabatnya, Taiyuddin Bakar.

Baginya, Taiyuddin jauh lebih sesuai memegang watak utama, sebaliknya ada satu lagi watak tetapi sekadar pembantu dilihat lebih sesuai untuk dirinya.

“Syukur kerana selepas ditayangkan, telefilem itu tercalon untuk ASK (Anugerah Skrin), malah Taiyuddin turut tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

“Sebagai pelakon, kita kena faham dengan maksud ‘sedar diri, sedar ruang’ dan sebab itulah setiap pelakon kena selalu baca skrip sebelum bersetuju menerima satu-satu tawaran,” katanya.

Selain telefilem, Adam juga pernah menolak tawaran berlakon sebagai watak utama dalam teater bangsawan dan drama kerana beranggapan perwatakan itu tidak sesuai dengannya.

Ditanya sama ada pendirian itu memberi kesan kepada kelangsungan dirinya dalam bidang seni, Adam tidak menafikannya.

Katanya, setengah orang apabila berada di satu tempat, perlu kekal berada di tahap itu dan dia sendiri cuba untuk berada di tahap sama walaupun masih menerima watak pembantu atau artis tetamu di dalam karya tempatan.

“Kalau mahukan pelakon, kenalah bayar harga pelakon. Jangan pula mahu pelakon tetapi bayar harga pelakon tambahan. Rakan saya pernah berdepan dengan situasi ini apabila ditawarkan watak utama dengan bayaran hanya RM200 untuk satu episod.

“Nama saya juga pernah disenarai hitam stesen TV kerana tidak ‘sebulu’ dengan sebuah syarikat produksi, tapi saya tidak kisah sebab rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Hasilkan filem pendek dengan Kodi Rashid

Dalam diam, Adam berhasrat untuk bekerjasama dengan pelakon Kodi Rashid dalam beberapa projek filem pendek bagi menunjukkan kepada dunia hiburan bahawa bakat mereka mengatasi kehendak populariti.

Katanya, Kodi memiliki aura tersendiri dan rugi jika mereka tidak disatukan di dalam satu bingkai kamera sama.

“Saya sudah berbincang dengan Kodi mengenai hasrat ini dan bersetuju untuk memulakannya dengan menghasilkan filem atau klip pendek.

“Jika tiada aral, projek itu akan dipaparkan di laman sosial seperti YouTube,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menampung kehidupan seharian, dia tidak malu mengaku kini selesa sebagai pemandu Grab dan pada masa sama masih berlakon.

Drama terbaru lakonan Adam ialah Destinasi Ukhwah arahan Suhaime Zulkifli yang ditayangkan di RTM sejak Khamis lalu.

Drama genre Islamik road-movie itu mengisahkan empat sahabat yang kembali bertemu dan mengambil keputusan untuk menjelajah seluruh Malaysia mencari pengalaman dan makna kehidupan.

Destinasi Ukhwah menggandingkan Adam bersama Ameerul Affendi, Fendy Bakri dan Zalif Sidek.

Dapat tawaran Hollywood

Siapa sangka, Adam turut terbabit dengan produksi dari Britain dan baru selesai menjalani penggambaran drama aksi bersiri berjudul Strike Back.

Menerusi drama itu, dia turut mendapat tawaran berlakon daripada syarikat produksi di Hollywood, Amerika Syarikat yang akan menjalani penggambaran di sini.

“Tawaran itu datang selepas penerbit melihat video uji bakat saya sebelum menjalani penggambaran drama itu,” katanya.

Strike Back turut menampilkan pelakon Britain, Warren Brown, Daniel MacPherson dan Alin Sumarwata di mana keseluruhan penggambaran musim barunya dilakukan di Malaysia, awal tahun ini.

Ia bakal ditayangkan di saluran Cinemax.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 8:43am
d