utama

Pemuda Melayu cipta nama di Jepun

Oleh Wartawan NSTP

BIARPUN keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang cemerlang, Shahnun Said, 36, memberanikan diri untuk membina masa depan dengan meneroka bidang seni kreatif, selari dengan minatnya sejak zaman kanak-kanak lagi.

Kisahnya bermula apabila dia menerima tawaran biasiswa mendalami bahasa Jepun di negara matahari terbit itu sebelum menyambung pengajian dalam bidang reka bentuk seni bina di Kyoto University, Jepun.

Dia mengakui terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sepanjang membina karier di perantauan, namun akhirnya segala kerja keras pemuda itu membuahkan hasil selepas diberi kepercayaan sebagai pereka utama kasut terkenal di Jepun.

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu kini diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menghasilkan rekaan terkini kasut tiga syarikat pengeluar utama produk berpangkalan di Jepun.

Katanya, dia berasa bangga kerana diberi kepercayaan oleh pemilik jenama Dragon Beard, Top Seven dan Premier Seven yang memasarkan kasut rekaannya ke pasaran Korea, China, Amerika Syarikat serta Eropah.

Pemuda kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, sejak kecil minatnya cenderung ke arah seni dan kreatif berbeza daripada ahli keluarga lain yang meminati sains serta bidang akademik berbentuk ilmiah yang lain.

“Saya sama sekali tidak menyangka mampu membina nama sebagai pereka kasut di Jepun. Kisahnya bermula lebih 16 tahun lalu, selepas tamat sekolah menengah dan memperoleh keputusan SPM kurang cemerlang, saya agak kecewa dan terkilan.

“Oleh kerana tidak mahu menghampakan harapan keluarga yang mahu melihat saya berjaya seperti kakak, saya tekad mengubah nasib dengan mendalami bidang yang saya minati,” katanya.

Menurutnya, pengalaman dikongsikan arwah bapanya Prof Madya Mohd Said Kadis, pensyarah bidang Fizik di Universiti Malaya (UM) yang kerap berulang-alik ke Jepun kerana tuntutan tugas, turut menjadi pembuka jalan yang mengubah nasib hidupnya.

“Ayah juga adalah pengasas program Rancangan Persediaan Khas Ke Jepun (RPKJ) di UM. Setiap kali pulang dari Jepun, ayah berkongsi pengalaman dan cerita menarik tentang Jepun, sekali gus memupuk minat saya terhadap negara itu.

“Secara kebetulan, saya ditawarkan biasiswa mendalami Bahasa Jepun sebelum menyambung pelajaran ke Kyoto University dalam bidang reka bentuk seni bina,” katanya.

“Sejurus tamat pengajian, saya cuba menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam pelbagai bidang termasuk menjadi tenaga pengajar di universiti bagi kursus Creative Thinking, Interpreter di sebuah kilang Jepun, selain turut aktif dalam bidang nyanyian sebelum menyedari minat saya sebenarnya terarah kepada dunia fesyen,” katanya.

Katanya, dunia fesyen tidak begitu asing di Jepun yang mendapat jolokan ‘fashion leader’ di Asia dan mata dunia sekali gus membuka ruang baginya membina kerjaya di negara itu sejak tujuh tahun lalu.

“Bagi saya, kerjaya arkitek tidak banyak beza dengan pereka kasut kerana kedua-dua bidang itu mementingkan keseimbangan dan struktur.

“Ketika menghadiri temu duga, idea dan hasil rekaan kasut saya berjaya menarik minat majikan sebelum ditawarkan bekerja di sebuah syarikat di Osaka.

“Hampir setiap bulan saya perlu melawat kilang pembuatan untuk memastikan kualiti kasut kami terjamin, malah saya juga berpeluang menghadiri ‘fashion week’ di luar negara setiap musim untuk membuat penyelidikan selain mencari ilham,” katanya.

Shahnun mengakui banyak cabaran dilalui termasuk masalah komunikasi dan cara pemikiran pekerja di Jepun yang mementingkan disiplin, namun minat terhadap kerjaya diceburi menjadi motivasi untuk bertahan sehingga kini.

“Disebabkan saya bangsa asing, majikan tidak terus beri kepercayaan sepenuhnya, malah pada mulanya semua rekaan kasut saya ditolak.

“Namun, saya berusaha keras dan bersaing dengan pereka tempatan dan membuktikan mampu buat lebih baik berbanding mereka.

“Akhirnya dalam tempoh tiga tahun, saya diberi kepercayaan oleh majikan dengan menjadi bangsa asing pertama menjawat jawatan pereka utama mereka sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengarah kreatif.

“Insya-Allah pada masa akan datang saya dijangka dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pengeluaran jenama baru di bawah syarikat ini,” katanya.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang agak asing dalam arena fesyen di Jepun, membuatkan dirinya kerap menjadi tumpuan media negara itu, sekali gus membuka ruang buatnya mempromosikan Malaysia.

“Kerjaya saya sebagai pereka kasut anak Malaysia di Jepun bukan saja kerana minat dalam bidang fesyen tetapi saya juga berniat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Bagi saya, walaupun pencapaian akademik tidak seberapa, sekiranya ada minat mendalam dan sanggup bekerja keras seseorang itu boleh meraih kejayaan.

“Saya harap selepas memperoleh ilmu dan pengalaman yang cukup, saya mahu berkongsi ilmu itu di dunia fesyen tempatan kita,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 9:34pm
d