utama

Belum rezeki raih anugerah

Oleh Norhayati Nordin

Biarpun berjaya menampilkan lakonan mantap dalam apa saja watak, belum rezekinya untuk memenangi sebarang anugerah.

Berbicara mengenai perkara itu, Azhan Rani,42, berkata, meskipun tanpa pengiktirafan sudah menjadi tugasnya sebagai pelakon untuk memberikan persembahan terbaik.

Ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan filem Kalla, Azhan mengakui bersyukur kerana tawaran tidak pernah putus setakat ini.

“Lebih sedekad aktif berlakon, kerjaya saya stabil. Hingga kini, tawaran berlakon sentiasa ada.

“Bagi saya, untuk terus kekal relevan dalam karier lakonan sangat penting menjaga disiplin dan komited dengan kerja.

“Saya tidak menceburi karier seni untuk mengejar populariti tetapi dengan lakonan berkesan, ternyata penonton dapat menerimanya.

“Justeru, saya sangat berterima kasih dengan sokongan diberikan,” katanya yang menjadi sebutan menerusi drama Nur pada Ramadan lalu.

Melakonkan karakter Ustaz Syed Hamadi, Azhan berkata, watak antagonis agak mencabar buatnya.

“Apapun, melihat sokongan penonton saya sangat puas hati menjadi sebahagian daripada keluarga drama Nur.

“Boleh dikatakan tahap kepuasannya lebih besar daripada memenangi anugerah. Ia tak pernah saya duga,” katanya.

Berbicara mengenai kualiti sesebuah penerbitan drama, Azhan berkata, amat penting kerja berpasukan.

“Bagi saya, drama terbaik dapat dihasilkan dengan kerja berpasukan yang mantap apabila pelakon, pengarah dan kru saling bekerjasama.

“Sebelum menerima tawaran, saya akan tengok siapa pengarah dan rakan gandingan.

“Malah, saya sanggup tolak apabila berasakan gandingan pelakon kurang sesuai,” katanya.

Azhan berkata, dia menolak bukan disebabkan berlagak dan ‘demand’ tetapi pentingkan keserasian dalam lakonan.

“Terus terang, penting untuk saya bekerjasama dengan pelakon yang komited kerana lebih mudah serasi.

“Selain itu, disiplin juga perlu ditekankan dan saya sangat hormat cara kerja pelakon berpengalaman seperti Faizal Hussein,” katanya.

Azhan berganding buat pertama kali dengan Faizal dalam filem Kalla arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin.

Ujarnya, dia sangat kagum dengan disiplin Faizal yang cukup bersedia dengan karakter lakonannya.

“Pengalaman berlakon bersama Faizal membuatkan saya sedar betapa persediaan diri itu sangat penting dan perlu dibuat awal.

“Ia bukan hanya melancarkan kerja sendiri tetapi pada masa sama tidak menyusahkan pelakon lain.

“Bekerja pun dalam keadaan gembira dan semua orang dalam produksi juga selesa. Jadi, hasil produk pun baik,” katanya.

Sehubungan itu, Azhan turut membintangi filem terbaru berjudul Bikin Filem arahan Yeop Hitler.

Azhan juga tampil sebagai pelakon pembantu dalam drama mini siri istimewa, KL Gangster Underworld sebanyak enam episod.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 9:25am
d