utama

Nyanyian buat bekas kekasih

Oleh Ardini Sophia Sina

Setahun sepi tanpa sebarang lagu, peminat Lizzy kini boleh tersenyum kerana penantian mereka untuk mendengar karya baharu daripada penyanyi itu sudahpun berakhir.

Rindu mereka terubat menerusi Police Entry yang dipertaruhkan wanita itu. Karya ciptaan sepenuhnya oleh Hael Husaini dan Ezra Kong itu menunjukkan kematangan Lizzy sebagai penyanyi.

Walaupun judul lagu diambil daripada nama permainan yang terkenal dalam kalangan kanak-kanak, bait lagu berkenaan sebenarnya cukup mendalam dan ditujukan kepada individu yang pernah mempermainkan hatinya.

Kata wanita itu, dia berharap agar jejaka Melayu yang suatu ketika dahulu pernah menghancurkan cintanya akan mendengar lagu nyanyiannya itu. Dia sama sekali tidak kisah andai bekas teman lelakinya itu terasa hati.

“Walaupun bukan saya sendiri yang tulis lirik dan gubah, saya harap dia akan dengar kerana lagu ini memang ada kaitan dengan bekas teman lelaki yang pernah menipu saya.

“Saya tidak kisah pun kalau dia terasa hati selepas mendengar lagu ini. Lagi pun dia memang tahu apa yang sudah dia lakukan hingga menyebabkan saya kecewa dan terluka,” katanya.

Jelas pemilik nama sebenar Elizabeth Tan itu, setahun kehilangannya kerana ingin mengubati hati dan pulih sepenuhnya masalah depresi di samping ingin memberikan tumpuan terhadap bidang lakonan.

Walaupun Lizzy mengakui Police Entry didedikasikan untuk bekas teman lelakinya, ia tidak bermakna dia menyimpan dendam, sebaliknya penyanyi ini semakin gembira meniti kehidupannya sebagai anak seni.

“Apa yang berlaku sebelum ini saya jadikan pengajaran agar lebih berhati-hati memilih pasangan serta tidak mudah percaya dengan ayat manis lelaki.

“Saya kini sibuk dengan kerjaya nyanyian dan lakonan. Saya baik-baik saja dan lebih gembira menjalani kehidupan harian,” katanya dalam majlis pelancaran Police Entry, baru-baru ini.

Mengakui gementar dengan maklum balas peminat, Lizzy bagaimanapun gembira kerana diberikan lagu berkenaan.

Katanya, Hael dan Ezra sangat kreatif hinggakan boleh menghasilkan lagu berdasarkan permainan kanak-kanak.

“Setahun tidak merakamkan lagu, saya agak berdebar menantikan maklum balas pendengar. Saya tidak letak sebarang kriteria untuk lagu ini tetapi apabila dengar, ia terus meresap ke dalam jiwa.

“Tidak ramai yang boleh jadikan permainan kanak-kanak sebagai lagu. Susunan muzik dan lirik memang sangat menarik. Saya gembira kerana diberikan lagu ini,” katanya.

Tambahnya lagi, dia akan tampil dengan single seterusnya pada Oktober nanti. Lagu itu hasil gubahan komposer terkenal Audi Mok.

Tidak perlu gimik

Tidak dinafikan, gimik kadang-kala mampu memberikan impak positif pada ‘rating’ lagu namun adakalanya ia akan menyebabkan perkara buruk hingga menjejaskan nama baik sebagai penyanyi.

Bertanyakan hal itu kepada Lizzy, wanita berkenaan menegaskan tidak perlu gimik semata-mata mahu lagu diterima ramai dan mendapat promosi secara meluas.

Katanya, apabila seseorang itu ada vokal yang baik serta lagu dan lirik berkualiti, pastinya ia akan mudah mendapat tempat di hati peminat. Bagaimanapun, Lizzy tidak melihat perkara itu sebagai perkara yang salah.

“Kalau ada yang mahu lakukan gimik sebagai promosi lagu, silakan. Saya tidak ada masalah. Mungkin ia membantu menaikkan lagu itu dan juga nama sebagai penyanyi.

“Bagaimanapun, ia perlulah di buat secara sederhana. Saya rasa, menggunakan isu sensitif sebagai gimik adalah perkara yang tidak sepatutnya.

“Bagi saya, bakat dan kualiti lagu itu sebenarnya sudah cukup kuat untuk menarik perhatian umum. Saya yakin gabungan kedua-dua aspek itu akan membuatkan sesebuah naskhah itu meletup,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 9:38am
d