utama

'Rumah cinta' kalis serbuan

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Langsung tidak beri kesan, malah seolah-olah terlalu kebal untuk dihapuskan.

Itu yang dibuktikan apabila deretan pusat maksiat popular dengan panggilan Rumah Merah atau Rumah Cinta 15 Minit terus beroperasi sediakala biarpun digempur Jabatan Imigresen Malaysia dua minggu lalu.

Premis maksiat yang 500 meter dari Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur itu masih meneruskan perniagaan haram dengan menawarkan ratusan pelacur warga asing sebagai tarikan utama.

Dalam operasi besar-besaran 23 Jun lalu, anggota Tindakan Cepat Pasukan (QRT), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Imigresen menahan 34 pelacur wanita warga negara asing membabitkan 24 wanita warga Indonesia, tujuh warga India dan tiga warga Bangladesh.

Tinjauan wartawan bermula jam 10 pagi semalam mendapati pusat maksiat beroperasi di deretan rumah kedai dua tingkat sepanjang Jalan Petaling di sini, masih dibuka dan menyediakan ramai pelacur di dalamnya.

Kehadiran ramai pekerja warga asing dianggap rahmat oleh sindiket pelacuran berikutan pelanggan akan berpusu-pusu mendapatkan khidmat pelacur disediakan.

“Bagi pelacur tua, gemuk dan kurang cantik...harga murah RM30. Kalau muda cantik...baru sampai Malaysia...RM40 dan RM50. Tak boleh tawar...harga sudah fix (tetap).

“Harga tak pernah naik sudah dekat 20 tahun. Ini harga paling murah di Malaysia. Boleh pilih belakang sampai depan sini (deretan bilik pelacur dari lorong belakang hingga tangga hadapan premis),” kata seorang daripada bapa ayam yang bertugas mengutip wang daripada pelanggan.

Ditanya bagaimana premis itu masih boleh beroperasi walaupun diserbu imigresen sebelum ini, lelaki itu mendakwa tindakan hanya diambil terhadap sebahagian saja premis manakala sebahagian lagi sempat ditutup.

“Sini ada 10 pintu (pusat pelacuran) masuk. Semua ada pintu besi. Kalau dia mau masuk (imigresen) bukan senang. Kena pecah semua,” ujarnya.

Sementara itu tinjauan wartawan mendapati 10 lelaki warga Bangladesh diupah sebagai tonto di sepanjang laluan itu bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Mereka dilihat berkeliaran dan berwaspada dengan gerak-geri orang luar yang melalui kawasan itu.

Berdasarkan pemerhatian, pusat pelacuran murah di kawasan itu kini tidak hanya beroperasi siang hari, malah dibuka waktu malam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali sebelum ini berkata, sindiket itu bukan saja mengubah suai pintu keluar dan tangga bagi memudahkan melarikan diri, malah mengubah suai tempat kumbahan serta bilik rahsia menyembunyikan diri.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 10:06am
d