utama

'Jurulatih Ekk, anda wira sebenar...'

Oleh BERNAMA

LAHIR emosi berbelah bahagi apabila Ekapol Chantawong, yang juga digelar ‘Jurulatih Ekk’ dari pasukan bola sepak ‘Mu Pa’ (Babi Hutan) akhirnya keluar dari Gua Tham Luang malam ini selepas terperangkap selama 17 hari.

Anak yatim piatu berusia 25 tahun itu bukan sahaja menjadi jurulatih bola sepak untuk remaja terbabit, tetapi turut menjadi pelindung dan tempat bergantung harap ketika mereka berjuang untuk terus hidup dalam gua yang penuh bahaya itu.

Sebagai orang terakhir keluar dari gua itu hari ini, Ekk yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya sejak kecil dan tinggal dengan ibu saudaranya, tetap menunaikan janji kepada keluarga remaja terbabit untuk menjaga anak-anak mereka sepanjang berdepan bahaya dalam gua bawah tanah berkenaan.

“Saya berjanji akan menjaga mereka sebaik mungkin. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sokongan yang diberi,” tulis Ekk dalam sepucuk surat yang begitu menyentuh perasaan, sembilan hari selepas mereka ditemui juruselam British sedang duduk di sebuah tubir disebut ‘Nerm Nom Sao’ dalam gua berkenaan.

Surat yang turut ditulis oleh setiap 12 remaja berusia antara 11 dan 15 tahun itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing oleh juruselam dari unit SEAL Tentera Laut Diraja Thailand.

Dalam suratnya, Ekk yang pernah menjadi sami Buddha sebelum ini turut meminta maaf kepada ibu bapa remaja itu, kerana berasa bertanggungjawab membawa anak-anak mereka mengharungi bahaya dalam perjalanan yang tidak dirancang ke dalam gua yang dilanda banjir terbabit.

Menurut laporan media, dia membawa remaja itu ke gua selepas latihan bola sepak, tanpa menyedari hujan lebat membanjiri sebahagian daripada gua berkenaan.

Namun, ibu bapa remaja berkenaan selain majoriti masyarakat Thai enggan meletakkan kesalahan ke atas jurulatih itu, sebaliknya menyifatkan Ekk sebagai wira sebenar hingga mereka berjaya dibawa keluar hidup-hidup dari gua berkenaan.

Ekk mengajar pemain-pemain bola sepak itu cara melakukan meditasi sebagai jalan untuk menenangkan jiwa sepanjang terperangkap di dalam gua.

“Saya tahu dia seorang yang baik,” kata Kum-aey Promthep, nenek kepada salah seorang remaja itu kepada media tempatan.

Keluarga remaja lain turut menyokong pandangan Kum-aey.

Timbalan Pengarah dari Kementerian Keadilan Thawatchai Thaikieaw dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, beliau bimbang jurulatih itu akan ditekan kemurungan sebaik keluar dari gua.

“Saya khuatir dia akan menyalahkan dirinya seorang. Ini boleh menyebabkan kekecewaan pada dirinya,” kata beliau.

Seorang pegawai polis di Balai Polis Mae Sai yang berkuasa ke atas kawasan gua Tham Luang dilaporkan berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan sama ada hendak mengenakan dakwaan terhadap jurulatih itu kerana membawa kumpulan remaja berkenaan ke dalam gua.

“Saya enggan menjawab isu itu ketika ini. Kami perlu menilai dulu perkara ini dengan hati-hati,” kata ketuanya Kol Komsan Saard-an.

Berita berkaitan

12 remaja tidak dibenarkan ke Moscow

Misi selamatkan pemain, jurulatih 'Wild Boars' selesai

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 12:25am
d