utama

Ronaldo buat Juve ceria

Oleh AFP

MADRID: Real Madrid hari ini mengumumkan perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus, dengan bintang Portugal itu mengatakan masanya sudah tiba ‘untuk membina karier baharu’.

“Hari ini Real Madrid mahu berterima kasih kepada pemain yang sudah membuktikan dia adalah pemain terbaik di dunia dan menempuh satu daripada tempoh paling cemerlang dalam sejarah kelab kami,” kata kelab itu dalam satu kenyataannya.

Bagaimanapun, Real tidak mendedahkan nilai sebenar perpindahan terbabit tetapi media Sepanyol melaporkan ia mungkin mencapai 105 juta euro (RM494.65 juta) dengan pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun bernilai 30 juta euro (141.27 juta) semusim.

Dalam kenyataan yang dipaparkan dalam laman web Real, pemenang lima kali Ballon d’Or itu berkata masanya di Madrid adalah yang paling menggembirakannya.

“Saya hanya mahu berterima kasih kepada kelab ini, penyokong dan bandaraya ini,” katanya.

“Tetapi saya rasa masanya sudah tiba untuk membawa karier saya ke satu tahap yang baharu dan itu sebab mengapa saya meminta kelab menerima tawaran berkenaan.

“Saya meminta semua terutamanya penyokong, untuk memahami keputusan saya ini.”

Real memenangi La Liga sebanyak dua kali dan Liga Juara-Juara empat kali sejak Ronaldo ke sana daripada Manchester United pada 2009.

 

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 12:29am
d