utama

Tak teringin jadi hero

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Hampir setahun berlalu isu panas yang menghantuinya, Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan, 30, kini mahu fokus terhadap kerjaya selain mengembangkan kreativitinya ke tahap lebih tinggi.

Baginya, tidak ada apa yang perlu dibangkitkan kerana kes dakwaan menghina nama bapa seorang tokoh sukan legenda dan rakaman video tular mengajuk seorang penyanyi remaja sudah diselesaikan secara baik.

Dia yang ditemui pada sesi fotografi khas bersama Rap/Selebriti selesa bercerita mengenai pilihannya untuk terus berlakon selain bergelar penyampai radio Hotfm.

“Saat ramai pelakon kejar peluang jadi hero, saya tak kisah bawa watak pembantu atau sampingan asalkan ia memberi impak kepada penonton.

“Saya memang dari dulu tidak terfikir atau simpan impian bergelar hero sebab percaya watak biasa-biasa juga membantu sesebuah produksi,” katanya.

Ammar berkata, peminat yang bijak boleh nampak watak hero silih berganti berbanding pelakon pembantu.

Antaranya, pelakon Noorkhiriah dan Azhan Rani yang mempunyai impak tersendiri melalui drama popular berjudul Nur pada Ramadan lalu.

Katanya, walaupun dua pelakon itu sekadar melakonkan watak pembantu, persembahan mereka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sehingga menjadi bualan masyarakat.

Ammar mendedahkan pernah mendengar luahan pelakon veteran Eman Manan yang menyesal kerana mengambil watak hero sejak mula berlakon.

“Dia kesal kerana sering menerima watak hero dan sejak itu dia sukar meneroka sisi lain dalam lakonan,” kata Ammar.

Biarpun sudah hampir setahun Ammar tidak berlakon dek kontroversi lalu, dia bersedia untuk menerima sebarang tawaran drama atau filem.

Apatah lagi sepanjang tempoh setahun ini, dia banyak belajar memperbaiki diri selain mengurus keluarganya.

“Syukur selepas setahun, saya diberi peluang beraksi melalui telefilem Saya Jual Yer Bang dan ia menjadi titik permulaan untuk fokus berlakon selain mengacara.

“Jujur saya katakan, perasaan rindu untuk kembali ke dunia lakonan membuak-buak,” katanya.

Lulusan ijazah seni lakon dan pengarahan Universiti Sains Malaysia (USM) ini mengakui lakonan ada jiwanya.

Selain berlakon, Ammar juga dalam perancangan meneroka bidang penerbitan pula satu hari nanti.

Sebagai permulaan, dia baru saja berbincang dengan teman baik untuk menerbitkan sebuah program dalam bentuk supertelefilem atau filem.

“Idea sudah ada dan ia masih dalam peringkat perkembangan idea. Jika berjaya, kami akan bawa idea ini kepada pelabur yang berminat.

“Kalau boleh saya sendiri nak berlakon dalam projek itu tetapi ia bergantung kepada kehendak skrip,” kata Ammar.

Kata Ammar, kehidupannya kini semakin tenang meskipun perlu membahagikan masa antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 9:20am
d