utama

Indah dipandang

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Rumah peneroka FELDA Lui Barat, Amat Mingan, 67, yang beberapa kali dinobatkan sebagai tercantik dan bersih dalam beberapa pertandingan rumah cantik peringkat FELDA Wilayah Raja Alias sentiasa menarik perhatian orang ramai yang berkunjung ke tanah rancangan itu.

Dikenali sebagai Wak Amat dalam kalangan penduduk tempatan, dia antara peneroka terawal FELDA Lui Barat yang menyertai tanah rancangan itu pada 1983 bersama isteri, Manisah Parno, 60, yang sebelum itu tinggal di Segamat, Johor sebagai penoreh getah.

Landskap rumah yang dibina sendiri Amat dan dibantu isterinya sentiasa menarik mata memandang malah ramai yang mengambil kesempatan merakam gambar kerana bukan saja cantik, malah kemas dan bersih.

Menurut Amat, rumah yang ada sekarang sudah diubah suai daripada rumah asal FELDA yang kecil bagi tempat berteduh mereka enam beranak.

Katanya, dia tidak mempunyai kemahiran bertukang malah tidak pernah belajar membina rumah, namun dapat menyiapkan sendiri kediamannya menggunakan tulang empat kerat.

“Saya bina rumah secara beransur-ansur mengikut kemampuan kewangan, malah dapat berjimat kerana membina seorang diri biarpun mengambil masa untuk disiapkan.

“Bagi memastikan kenangan tinggal di rumah asal FELDA tidak hilang, saya membuat sebuah replika rumah itu supaya seluruh keluarga tidak lupa bagaimana rumah lama yang menjadi tempat tinggal satu masa dulu,” katanya.

Halaman rumahnya dihiasi dengan dengan pokok bunga, kolam, replika kuda termasuk wakaf untuk berehat selain menggunakan barang kitar semula.

Selain memberi sentuhan kehijauan terhadap persekitaran rumahnya, Amat turut membina beberapa keperluan rumahnya sendiri menggunakan kayu palet yang dibeli dari sebuah kilang di Senawang.

“Saya mula membuat kerusi makan, rak televisyen, kerusi tetamu dan pelbagai lagi barang berasaskan kayu pada 2017.

“Saya sendiri tidak ada kemahiran, namun mengikut gerak hati membina semua peralatan itu sehingga dapat menjimatkan duit,” katanya.

Selain itu katanya, selepas anaknya mempromosikan hasil kerjanya di Facebook (FB), ramai yang datang membuat tempahan sehingga tidak menang tangan menerima tempahan.

Amat berkata, peralatan yang digunakan termasuk kerja mengukir hanya sebuah mesin pencanai selain gergaji, namun ramai yang menyangkakan dia menggunakan peralatan canggih.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 9:46am
d