utama

Dua sekolah ditutup akibat HFMD

Oleh Nur Izzati Mohamad

DUA sekolah di Pulau Pinang ditutup sepenuhnya apabila beberapa murid dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Sekolah terbabit adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung (cawangan) dan Sekolah Antarabangsa Tenby.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, sebelum itu hanya satu kelas sahaja ditutup di kedua-dua sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut dijalankan, pihak Jabatan Kesihatan mengambil keputusan untuk menutup sepenuhnya dua sekolah terbabit buat sementara.

“Selain daripada dua sekolah itu, enam kelas di SJKC Phor Tay diarahkan ditutup sejak semalam apabila terdapat murid turut dijangkiti penyakit berkenaan.

“Pada masa sama, kita mengenalpasti terdapat murid dari SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun dijangkiti HFMD dan kita masih menjalankan pemantauan serta penelitian sebelum mengambil sebarang keputusan sama ada untuk tutup kelas atau sekolah,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, terdapat 18 premis membabitkan taska, sebuah tadika, pusat jagaan dan sekolah ditutup selama 10 hari bagi proses pembersihan berikutan terdapat jangkitan HFMD di premis berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, sejak penyakit HFMD dilaporkan meningkat di negeri itu, pihaknya sudah memeriksa sejumlah 622 premis membabitkan pra sekolah, taska dan tadika.

“Untuk kes ini, tiga murid dimasukkan ke hospital berikutan dijangkiti penyakit ini dan keadaan mereka dilaporkan stabil serta di bawah pemantauan doktor.

“Kami sentiasa mengambil pelbagai langkah bagi membendung penularan penyakit ini dan terbaru dengan memberi taklimat kepada ibu bapa serta meuar-uarkan berhubung virus ini melalui radio supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki, serta ulser pada mulut serta lidah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Afif Bahardin mahu pengamal perubatan agar lebih peka terhadap peningkatan kes HFMD dan melaporkan segera kes yang disyaki atau didiagnosis sebagai HFMD.

Beliau berkata, penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 4:23pm
d