utama

Hebatnya ayam RM19,400

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

MINAT mendalam terhadap ayam baka menyebabkan penternak sanggup membeli ayam benih Pama dengan harga RM19,400 seekor.

Ayam Pama yang mendapat jolokkan ‘Sut Dragon’ itu dijual seorang penternak ayam baka dari Buriram Esan, Thailand, Somchai Sukrat, kepada Suhaidi Ali, 32, dari Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Ia dihantar terus kepada Suhaidi oleh seorang kenalan dari Golok, Thailand, Rahim Sut, 40, membabitkan kos keseluruhan RM1,000.

Pembelian ayam disifatkan agak mahal itu menjadi tular di media sosial sejak dua minggu lalu selepas ia dikongsi Suhaidi di Facebook miliknya.

Suhaidi atau lebih mesra dipanggil Ady berkata, sebagai penternak dia perlu berbelanja besar untuk memastikan ternakan ayam baka diusahakan sejak 15 tahun lalu itu terus mendapat sambutan.

“Sebelum ini saya pernah membeli ayam termasuk induk dengan harga RM5,000 hingga RM12,000 seekor.

“Bagaimanapun pembelian Sut Dragon mencatat rekod termahal pernah dibeli sepanjang bergiat di dalam bidang penternakan,” katanya.

Ady berkata, dia mempunyai lebih 20 pasang ayam daripada baka terpilih berharga RM5,000 dan ke atas dan sehingga kini sudah melabur lebih RM100,000 di dalam bidang penternakan itu.

“Tiga tahun lalu, saya pernah mengalami kerugian lebih RM20,000 kerana lapan ayam terbaik diserang sampar, selain pernah beberapa kali dicuri.

“Namun kejadian itu tidak mematahkan semangat dan tetap meneruskannya kerana pulangan diperoleh sangat lumayan,” katanya.

Ady berkata, dia bertuah kerana sepanjang pembabitannya dalam bidang penternakan itu, isterinya, Norhidaya Mohd Nor, 30, turut membantu.

Katanya, sekiranya dia perlu ke luar kawasan, isteri yang akan menjaga dan memberi makan ternakan di Ladang Ayam Samurai mereka.

“Isteri memang seronok turut serta dalam bidang penternakan itu kerana anak ayam dihasilkan laris terjual dengan harga RM850 hingga RM 1,250 seekor bergantung pada gred,” katanya.

Sementara itu Norhidaya berkata, dia tidak kisah bergelumang dengan najis dan bau busuk ketika menguruskan ladang ayamnya.

“Berbaloi ternak ayam baka kerana ia boleh dijual dengan harga mahal, malah permintaan sangat tinggi.

“Anak ayam baka dihasilkan ditempah awal dan biasanya dijual ketika ia berusia dua bulan.

“Biasanya kami mampu menghasilkan 60 hingga 80 ekor ayam pada setiap bulan dan separuh daripadanya pasti terjual dan selebihnya diasingkan kerana tidak menepati piawaian ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, rekod tertinggi harga ayam pernah mereka jual adalah RM27,000 seekor kepada rakan ternak di Sabah pada Mei lalu.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 4:22pm
d