utama

Curi tabung masjid beli kasut anak

Oleh Agensi

Magelang (Indonesia): Akibat hidup miskin, bapa tiga anak terdesak hingga sanggup mencuri wang dalam tabung masjid semata-mata ingin membelikan kasut sekolah baru untuk anak bongsunya.

Detik News melaporkan, Slamet Sartono, 55, dari Pringsurat, Kabupaten Temanggung ditahan di Markas Kepolisian Sektor (Mapolsek) Magelang Selatan, Kota Magelang, Indonesia kelmarin.

Kejadian itu dilihat ahli jawatankuasa Masjid Al Ikhlas, Wisnu Wihadi yang berteriak ketika ternampak perbuatan Slamet.

Lelaki itu mengakui dia tiada wang dan tidak sampai hati melihat anaknya menangis meminta kasut untuk dipakai bagi sesi persekolahan baru.

“Saya benar-benar ingin membelikan kasut untuk anak dan tidak berniat mencuri,” katanya.

Katanya, dia sebenarnya ke Kota Magelang untuk menziarah kubur di Gunung Tidar iaitu amalannya setiap bulan, lalu berhenti rehat di masjid.

“Tidak tahu mengapa, saya terdorong ingin membuka tabung itu lalu mengambil wang yang ada.

“Saya tidak memecahkan tabung itu, ia memang tidak berkunci, malah terbuka. Saya mengambil wang itu untuk membeli kasut anak. Malam sebelumnya dia menangis meminta kasut kerana baru saja mendaftar sekolah,” katanya.

Dia diserahkan kepada polis bersama wang yang dicuri bernilai 600,000 rupiah (RM169).

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 8:30am
d