utama

3 mati kereta rempuh lori

Oleh Farah Suhaidah Othman

TIGA lelaki maut manakala seorang cedera selepas kereta dinaiki dipercayai merempuh belakang lori di Kilometer 225 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Taiping, hari ini.

Dalam kemalangan 8.50 pagi itu, Lobpithai Lee Sern Koung, 25, yang memandu kereta Perodua Myvi dan penumpang hadapan kereta sama, Tan Hock Lai, 24, maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang, Ong Cheng Lian, 23, maut ketika dirawat di Hospital Taiping manakala seorang lagi penumpang tempat duduk belakang berusia 23 tahun cedera ringan.

Pemandu lori berusia 27 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dan lori berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Pulau Pinang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit merempuh bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri lebuh raya.

“Akibat kemalangan itu, dua daripada empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Taiping dan seorang lagi masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik hospital terbabit untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati ia berlaku di jalan lurus, sehala dan mempunyai dua lorong.

“Ketika polis tiba di lokasi kejadian, dua mangsa maut masih berada di tempat kemalangan dan polis meminta anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta terbabit.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Izuan Che Ibrahim ketika dihubungi berkata, setiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati dua lelaki yang duduk di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan tersepit.

Beliau berkata, dua lagi mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital menaiki ambulans.

Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan dua mangsa tersepit itu dan operasi menyelamat tamat pada 10.30 pagi.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 2:56pm
d