utama

Tiga taska tutup sebab HFMD

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

YAYASAN Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menutup tiga Taska Permata Keluarga (TPK) sejak minggu lalu selepas kanak-kanak di taska berkenaan dijangkiti penyakit tangan, kuku dan mulut (HFMD).

Arahan penutupan itu membabitkan TPK Bukit Perah, Hulu Terengganu ditutup selama sehari pada 10 Julai lalu, manakala TPK Durian Guling, Marang dan TPK Putra Jaya, Setiu, diarah tutup selama lima hari bermula 10 Julai lalu sehingga hari ini.

Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan semua peralatan termasuk permainan, tempat tidur, ruang makan dalam dan luar taska dilakukan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil beberapa langkah pencegahan lain termasuk memperketatkan pemeriksaan terhadap kanak-kanak yang berada di taska dengan membuat pemeriksaan tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan sebelum pulang ke rumah masing-masing.

"Selain itu, sebanyak 65 TPK di negeri ini juga diarahkan menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap pagi iaitu semasa menerima anak-anak bagi memastikan mereka yang bebas daripada simptom penyakit itu sahaja boleh dihantar ke taska ketika ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya peringkat TPK Parlimen Kuala Terengganu di YPKT, Kuala Terengganu.

Menurut Mohd Shafaruddin, arahan dikeluarkan pihaknya bukan untuk memberi tekanan atau menyusahkan ibu bapa tetapi sebagai langkah pencegahan kerana HFMD mudah merebak terutama melalui hingus dan air liur.

"Kita harap ibu bapa faham dan memberi kerjasama, sekiranya anak mempunyai simptom HFMD, segeralah mendapatkan rawatan selain tidak menghantar anak ke taska.

"Ibu bapa diharap tidak salah anggap dengan arahan dikeluarkan kerana langkah ketat perlu diambil bagi mengelak kanak-kanak lain daripada dijangkiti penyakit mudah berjangkit ini.

"Setakat ini, sebanyak 488 kes HFMD direkodkan dalam tempoh Januari hingga 12 Julai lalu berbanding hanya 178 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafaruddin berkata, dua TPK akan dibuka pada tahun depan iaitu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dan di Majlis Perbandaran Dungun.

"Taska berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan bagi membantu pekerja di jabatan itu mengatasi masalah penjagaan anak ketika bekerja," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 3:40pm
d