utama

'Serik dah makan durian'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

GARA-gara memakan dua biji durian, bayi dalam kandungan isteri penyanyi Black Hanifah iaitu Naquia Yasirah tidak bergerak secara tiba-tiba.

Black atau Hanifah Hanafiah, 31, berkata, perkara itu membuatkan mereka panik kerana pertama kali berlaku.

“Isteri saya memang ‘hantu durian’. Bagi berapa banyak pun, dia boleh habiskan. Semalam, dia makan dua biji. Saya terkejut juga, sebab dalam pada dia mengandung masih boleh makan banyak.

“Selepas itu, tiba-tiba dia maklumkan bayi tidak bergerak. Saya cuba panggil nama bayi, tetapi tidak ada sebarang respon. Kebiasaannya, kalau pegang pun mesti ada pergerakan.

“Apa lagi, masing-masing panik dan tidak tahu nak buat apa. Apatah lagi ini kehamilan keempat selepas tiga kali mengalami keguguran selepas kelahiran anak pertama,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, isteri Black yang mesra disapa Cira mengakui serik untuk makan durian buat sementara waktu.

“Apabila bayi tak bergerak memang risau dibuatnya. Sebab selalu bayi memang aktif. Mungkin bayi terkejut sebab saya terlalu banyak makan durian. Atau mungkin juga kesan yang terlalu panas.

“Alhamdulillah, subuh tadi bayi baru bergerak. Jadi, saya tidak mahu lagi makan durian. Tunggu selepas bersalin pula,” katanya.

Ditanya mengenai jantina bayi dalam kandungan isterinya, Black yang ditemui pada majlis Durian Raya 3.0 anjuran Teh Tarik Place, Setapak Sentral, Kuala Lumpur, hari ini, belum bersedia untuk berkongsi.

“Insya-Allah saya akan kongsikan kepada semua nanti. Apa yang penting bayi yang bakal lahir sihat dan sempurna.

“Alhamdulillah, kandungan isteri sudah enam bulan. Doakan yang terbaik untuk kami,” katanya.

Black dan isteri mendirikan rumah tangga pada September 2013.

Mereka memiliki cahaya mata lelaki, Khaleef Dayyan yang kini berusia tiga tahun.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 5:17pm
d