utama

[UPDATE] 'Menyusul' arwah abang selepas 40 hari

Oleh Teoh Pei Ying

MANGSA yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer (KM) 446 Lebuhraya PLUS, arah Kuala Lumpur dekat persimpangan Rawang Selatan kira-kira 12 tengah hari, hari ini, baru sahaja ‘kehilangan’ abangnya 40 hari lalu.

Kakak mangsa, Noor Bunga Mawarraya Mohammad Noor, 49, berkata, seluruh keluarganya terkejut dimaklumkan Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48, maut berikutan keluarga masih bersedih dengan pemergian abang mereka.

Menurut Noor Bunga, dia sempat berbual dengan isteri mangsa, Maskiah Mat Saad, 41, menerusi panggilan telefon kira-kira 30 minit sebelum kejadian.

“Saya sempat berbual dengan arwah dan isterinya sebelum kejadian dan mereka memaklumkan baru saja memasuki kawasan Rawang.

“Tetapi kami tak sangka, ketibaan keluarga mereka yang kami tunggu, sebaliknya yang datang hanya khabar duka,” kata ketika ditemui di unit Forensik Hospital Sungai Buloh.

Noor Bunga berkata, arwah bersama isteri dan anak bongsunya, Ezzudin, 10, dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk melawat dua anak mereka di Bangi, Selangor.

"Lam (panggilan untuk arwah), Maskiah serta Ezzudin dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk melawat anak kedua dan ketiga mereka, Azzra, 15 dan Faris, 14, yang belajar di Sekolah Seri Puteri dan Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

"Kedatangan mereka adalah untuk mengambil kad laporan prestasi serta melawat anak mereka Faris, tetapi tidak kesampaian" katanya.

Noor Bunga berkata, menjadi kebiasaan keluarga arwah adiknya itu bermalam di rumahnya sekiranya ke Kuala Lumpur, namun, kali ini arwah adiknya memberitahu tidak akan bermalam di situ.

“Mereka selalu bermalam di rumah saya sebelum pulang semula ke Pulau Pinang keesokan harinya selepas Zohor.

“Bagaimanapun, kali ini saya pelik kerana mereka tidak mahu bermalam,” katanya.

Noorakhirludin adalah seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk treler.

Difahamkan, Maskiah cedera manakala, Ezzudin parah dan kini mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu treler yang dalam perjalanan menuju arah utara melanggar belakang sebuah kenderaan.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan treler berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan masuk ke laluan lebuh raya arah selatan seterusnya melanggar empat lagi kenderaan lain yang melalui jalan berkenaan.

"Selain Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, turut meninggal dunia di tempat kejadian adalah pemandu serta penumpang Perodua Alza iaitu Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, Nurbaya Mohd Zaki dan Nur Fitrah Rosman, masing-masing berusia 24 tahun.

"Nahas turut mengakibatkan tiga yang lain cedera dan seorang parah," katanya.

Berita berkaitan

4 maut nahas 6 kenderaan [METROTV]

[UPDATE] Dengar bunyi dentuman kuat

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 9:51pm
d