utama

Potong juga akhirnya

Oleh Agensi

New York: Pemegang rekod kuku terpanjang dunia dari Pune, India, akhirnya melepaskan gelarannya selepas dia memotong kuku yang disimpan selama 66 tahun dalam satu acara khas di New York, Amerika Syarikat.

Shridhar Chillal, 82, menghadiri acara memotong kuku itu di Muzium Ripley’s Believe It or Not! di Times Square awal minggu lalu dan kuku itu akan dipamerkan kepada orang ramai.

“Ia keputusan yang sukar untuk memotong kuku tetapi apabila memikirkan mereka akan meletakkan di muzium dan menjaganya, saya berasa ia keputusan yang baik,” katanya.

Menurut laporan Daily Mail, ukuran kuku yang dimilikinya sudah mencecah panjang sebuah bas iaitu 909 sentimeter sebelum dia membuat keputusan memotongnya.

Dia mendapat inspirasi menyimpan kuku tangan kiri pada 1952 selepas seorang guru memukulnya kerana secara tidak sengaja mematahkan kukunya.

Bagaimanapun, gurunya sudah memberi amaran bahawa amat susah menjaga kuku sambil berkata, dia tidak mungkin faham kecuali mengalaminya sendiri.

Pada 2014, Guinness World Records mengiktiraf Shridhar sebagai individu memiliki kuku terpanjang pada satu tangan.

Kuku terpanjang adalah pada ibu jarinya berukuran 179 sentimeter (cm).

Menurut Shridhar, dia amat berhati-hati dalam menjaga kukunya supaya tidak patah ketika tidur.

“Saya tidak boleh bergerak banyak, setiap setengah jam saya bangun dan menggerakkan tangan ke sebelah lagi.

“Saya amat menjaganya kerana ia mudah patah. Saya menghabiskan masa 66 tahun menjaga kuku ini,” katanya.

Berikutan kuku semakin panjang dan berat, tangan kirinya tidak dapat diguna atau digerakkan.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 9:06am
d