utama

Aiman kian matang

Oleh Najiy Jefri

Penyanyi Aiman Tino mengaku semakin matang berdepan dengan kecaman dan cacian netizen selepas memahami sepak terajang industri seni.

Kata Aiman, meskipun pernah berasa tertekan apabila kerap menjadi bahan kutukan, dia sedar itulah harga yang perlu dibayar apabila bergelar selebriti.

Langkah terbaik untuk menangani komen negatif adalah tidak terlalu mengikut emosi dan dia menganggap setiap yang berlaku sebagai proses pembelajaran.

“Saya akui pada awal kemunculan saya dikritik teruk hingga rasa tertekan.

“Malah sehingga hari ini ada saja individu yang mahu lihat saya jatuh tetapi saya enggan melayan perkara negatif itu dan banyak meminta nasihat daripada ibu bapa kerana mereka orang yang paling memahami diri saya pada saat suka dan duka,” katanya.

Tambah Aiman, adat anak seni pasti tidak terlepas dikecam namun golongan ini perlu bijak mengawal setiap isu yang berbangkit.

“Percayalah, semua orang akan melalui situasi ini. Cuma, sejauh mana kita mampu mengawal diri daripada terus dihantui amarah.

“Bagi saya, apabila sudah masuk dalam industri, mahu atau tidak kita perlulah hadapi situasi sebegini.

“Apa yang netizen kata, ambil yang positif untuk kita jadikan panduan dalam hidup manakala yang negatif buang jauh-jauh,” katanya.

Beralih mengenai kerjaya seni nyanyian, Aiman yang terkenal menerusi lagu Ku Rela Di Benci memaklumkan bakal muncul dengan lagu baru.

Menariknya, lagu itu akan menampilkan sisi berbeza Aiman yang selama ini serasi dengan imej lagu balada 90-an.

“Lagu baharu ini sangat berbeza dengan lagu terdahulu. Apa yang boleh dikongsi buat masa ini, ia lari daripada imej saya selama ini.

“Cuma, saya tidak mahu ia terlalu mengejut kerana kena ambil kira penerimaan peminat. Jadi, caranya saya akan kongsi perubahan itu sedikit demi sedikit di laman sosial termasuklah aspek penampilan diri,” katanya.

Sementara itu, Aiman berkongsi rasa teruja apabila menerima tawaran untuk menjadi salah seorang selebriti bagi programToyota Gazoo Racing musim kedua.

Aiman berkata, dia bakal berentap dengan sembilan peserta yang sememangnya mahir dalam dunia perlumbaan.

“Nak memandu kereta manual bukan satu masalah besar tetapi rasa tercabar juga sebab ramai peserta yang sudah mahir.

“Apa pun, saya akan cuba yang terbaik untuk bersaing dengan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 8:52am
d