utama

Amanat syahadah

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Usianya baru menjengah 25 tahun namun baktinya dalam mengembangkan syiar Islam dalam kelas tersendiri apabila sanggup menyusuri sungai, jalan tanah merah dan meredah rimba belantara semata-mata mahu membawa misi Islam ke seluruh pelosok negara.

Lelaki ini yang juga anak kepada pendakwah terkenal Mohd Fadli Yusof sanggup meninggalkan dunia mudanya apabila memberi dedikasi penuh bagi melaksanakan misi syahadah kepada orang bukan Islam.

Hasil usaha belia ini, Muhammad Safwatullah bersama bapanya berjaya membawa hampir 800 orang untuk memeluk Islam dan ia tidak terhenti di situ saja sebaliknya program pembangunan dakwah dan pengenalan Islam diteruskan hingga kini.

Muhammad Safwatullah sudah mula mengenali dunia dakwah seawal usia 19 tahun hasil didikan bapanya dan dia meneruskan usaha membawa misi memperkenalkan Islam kepada bukan penganutnya.

“Misi dakwah saya serta keluarga bukan hanya tertumpu di Semenanjung sebaliknya banyak memberi fokus kepada kawasan pedalaman di Sabah kerana lokasi itu kurang dimasuki oleh pendakwah Islam.

“Menerusi misi syahadah ini, kami cuba memperkenalkan Islam kepada mereka dan Alhamdulillah, mereka menerimanya.

“Pada peringkat awal memang mereka menolak. Biasalah itu lumrah dalam kita berdakwah. Ugutan dan ancaman itu biasa bagi kami,” katanya.

Muhammad Safwatullah berkata, kebanyakan teknik dakwah dipelajari daripada bapanya yang tidak henti memberikan dorongan dan galakan kepadanya.

“Dakwah ini adalah tugas dan tanggungjawab kita. Ia bukan tugas separuh masa atau kerja sukarelawan sebaliknya ia adalah tanggungjawab kita sebagai orang Islam.

“Kesukaran dan kepayahan dalam berdakwah adalah lumrah. Kesukaran itu juga digambarkan dalam sirah Rasullullah.

“Jadi, jika saya berdepan dengan sebarang kesukaran, saya ingatkan sirah nabi memandangkan Rasulullah lebih banyak cabarannya berbanding dengan kita,” katanya.

Menurutnya, usaha dakwahnya itu turut memerlukannya menyelusuri sungai selama berjam-jam atau menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan tanah merah untuk sampai di perkampungan.

Katanya, semua itu adalah cabaran namun jika berjaya melaluinya, ia akan bertukar menjadi pengalaman paling indah yang tidak semua orang boleh peroleh.

“Insya-Allah, saya akan terus berdakwah. Saya mohon doakan saya terus kekal dalam perjuangan dakwah ini dan diberi kemudahan untuk mengembangkan syiar Islam bersama-sama keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 9:31am
d