utama

Objek 'terbang' lagi

Oleh Norizuan Shamsuddin

Petaling Jaya: “Kes baling pisau masih berterusan berlaku walaupun pelbagai langkah dilakukan penduduk termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bangunan.

“Terbaru kami menemui dua lagi pisau yang dilemparkan dari tingkat atas bangunan. Kami percaya kegiatan itu dilakukan individu sama berdasarkan tulisan yang tertera pada senjata berkenaan,” kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Blok B, Flat Taman Medan Cahaya, Mohamad Fuad Jam Jam, 66, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya berharap pihak berkuasa memandang serius perkara ini dengan mengambil tindakan segera bagi mengesan dan menangkap suspek.

“Jangan nanti ada penduduk maut tertusuk pisau baru pihak berkuasa hendak ambil tindakan drastik,” katanya.

Mohamad Fuad berkata, kes baling objek dipercayai dari tingkat atas bangunan flat berkenaan masih berlaku dan ia berlarutan sejak lebih dua minggu lalu.

Katanya, dalam kejadian terbaru itu, pihaknya menemui dua pisau di kawasan kaki lima bangunan blok berkenaan yang dicampakkan individu tidak bertanggungjawab.

“Satu daripada pisau terbabit ditemui jam 11 pagi semalam (kelmarin) dan satu lagi ditemui jam 10 pagi tadi (semalam). Pada pisau itu juga tertera dua nama individu dan alamat rumah sama seperti sebelum ini.

“Pisau berkenaan dipercayai dicampakkan dari tingkat atas bangunan Blok C yang bersebelahan Blok B. Bagaimanapun, kami tidak pasti dari tingkat berapa kerana masih menunggu proses untuk menyemak sistem CCTV.

“Kami juga memaklumkan kes terbaru ini kepada polis untuk tindakan lanjut mereka,” katanya.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan, lebih 10 kenderaan milik penduduk yang diparkir di kaki lima bangunan berkenaan mengalami kerosakan apabila dibaling pelbagai objek dari tingkat atas bangunan termasuk bungkusan cat, botol kaca dan pisau.

Kejadian itu membimbangkan penghuni kawasan berkenaan apabila kes berlarutan hampir setiap hari sejak 1 Julai lalu menyebabkan ada antara mereka menanggung kerugian akibat kerosakan pada kenderaan, selain perbuatan terbabit boleh mengancam nyawa penduduk.

Berita berkaitan

Pisau 'terbang' dari atas

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 9:50am
d