utama

Pengalaman indah Hael

Oleh Norhayati Nordin

Kehidupan penyanyi popular, Hael Husaini, 31, makin bahagia dan ceria di samping anak angkatnya, Nur Helena Hael yang berusia setahun tiga bulan.

Hubungan kasih sayang bapa dan anak di antara mereka terserlah apabila Nur Helena enggan lepas daripada pelukan Hael ketika didukung.

Bersua Hael pada majlis akikah Nur Helena dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini, penyanyi lagu Jampi ini berkata, dia bersyukur dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

“Hadirnya Nur Helena dalam hidup saya sangat bermakna. Dia banyak mengajar saya erti kesabaran menjadi seorang bapa. Apatah lagi, dengan keadaan diri yang bujang semestinya saya banyak belajar dan semuanya bermula dengan kosong.

“Tidak mudah menjaga seorang bayi. Dalam tempoh enam bulan awal, memang sukar untuk memahami ragam bayi dan ia cabaran yang besar.

“Maklumlah, saya dulu seorang yang baran dan ia membantu memupuk kesabaran demi tanggungjawab terhadap membesarkan Nur Helena,” katanya.

Hael yang kini popular dengan single duet, Haram bersama Dayang Nurfaizah berkata, dia juga lega kerana semua perkara berkaitan anaknya dapat diurus dengan teratur.

Hael tidak menafikan dia makin seronok dan tidak sabar melihat perkembangan Nur Helena yang kini sudah pandai berjalan.

Tetap akan kahwin

Selepat memiliki Nur Helena, tentunya Hael juga bersedia untuk berumah tangga.

Ditanya mengenai perkara itu, Hael berkata, dia serahkan kepada Allah SWT dan tidak mahu terburu-buru.

“Sekarang, fokus saya lebih tertumpu kepada kerjaya seni dan anak. Urusan jodoh, saya sangat yakin jika sampai seru takkan ke mana.

“Bagi saya, dapat melihat Nur Helena membesar depan mata kini adalah pengalaman indah sebagai bapa dan ibu kepadanya,” katanya.

Mengulas dakwaan golongan bujang dikatakan sanggup mengambil anak angkat kerana tak mahu berkahwin, Hael menafikan perkara itu.

“Saya mengambil Nur Helena kerana mahu membela nasibnya dan ikhlas memberikan dia kasih sayang.

“Ia juga tidak bermaksud saya enggan memiliki keluarga sendiri suatu hari nanti. Cuma, buat masa sekarang saya belum terfikir mahu berumah tangga,” katanya.

Menurut Hael, dia juga tidak meletak sebarang syarat hanya mahu bayi lelaki dan menolak anak perempuan ketika mahu mengambil Nur Helena sebagai anak angkatnya.

Selesa jaga sendiri

Kejadian bayi meninggal dunia ketika di bawah jagaan pengasuh bukanlah asing di negara kita. Ada di antaranya menjadi ‘mangsa korban’ akibat kecuaian pengasuh.

Mengulas perkara itu, Hael berkata, sejak Nur Helena bayi dia lebih selesa menjaganya sendiri.

“Saya juga ada seorang pembantu yang tolong menjaga Nur Helena. Bagaimanapun, saya selalunya tidak tinggalkan dia bersama pembantu.

“Ke mana saja saya pergi bekerja termasuk menjayakan persembahan nyanyian, Nur Helena pasti dibawa bersama.

“Saya tidak boleh lama berjauhannya kerana rindu dan atas sebab itu, Nur Helena sentiasa bersama pada setiap masa,” katanya.

Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi juga cekalkan hati berdepan apa saja tanggapan serong dan dangkal segelintir masyarakat terhadap golongan bujang dan belum berkahwin yang mengambil anak angkat.

“Pedulikan dan biarlah apa yang orang nak anggap pada saya. Semua itu saya tak kisah langsung.

“Saya ambil Nur Halena mengikut prosedur yang betul. Malah, setiap enam bulan sekali pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat lawatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 9:08am
d