utama

Pengotor sangat!

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: “Sampai bila hendak duduk dalam keadaan jijik seperti ini, saya pun tidak tahu kerana penduduk sendiri tidak mahu berubah sikap,” kata M Maniam, 66, yang menetap di sebuah flat di Perai, dekat sini.

Keadaan sekitar flat itu kotor dengan lambakan sampah berselerak akibat sikap penduduk yang tidak mahu menjaga kebersihan bukan suatu perkara baharu.

Maniam berkata, isu kebersihan di flat itu sudah berlarutan sekian lama hingga pernah mendapat jolokan kediaman paling kotor di Pulau Pinang.

“Mana tidaknya, kerana sikap penduduk yang mementingkan diri sendiri dan mengambil jalan mudah membuang sampah menyebabkan keadaan ini sampai bila-bila pun tidak selesai.

“Sebelum ini, ada usaha untuk membersihkan kawasan flat dibuat namun ia hanya bertahan beberapa jam saja sebelum keadaan kembali kotor,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia turut bimbang dengan sikap penduduk yang membuang sampah dari atas flat kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kecelakaan kepada orang lain.

“Sudah kerap saya lihat ramai yang terkena sampah dibuang dari tingkat atas tetapi mujurlah tiada apa-apa berlaku.

“Namun perbuatan itu menimbulkan kemarahan pemilik kereta apabila banyak yang mengadu berlaku kerosakan pada cermin kenderaan mereka akibat terkena objek keras dibaling dari atas,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, K Vilaparry, 51, berkata dia sendiri tidak tahu untuk menyelesaikan perkara itu apatah lagi banyak pihak termasuk kerajaan negeri cuba bagi menangani isu kebersihan itu.

“Saya tidak tahu sampai bila penduduk di sini nak sedar, mungkin apabila ada yang maut akibat sikap teruk seperti ini baru mereka insaf,” katanya.

Katanya, dia trauma setiap kali turun kerana bimbang terkena sampah dibaling.

“Saya ketakutan dan berjalan sambil melihat ke atas kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 9:30am
d