utama

Nak kahwin pun kena hentam!

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON, Ariff Aziz yang bakal bernikah dengan penerbit terkenal, Datuk A Aida, 48, pada Sabtu ini menyelar sikap segelintir netizen yang dianggap biadap apabila melemparkan kata-kata kesat terhadap mereka di laman sosial.

Ariff atau Wan Izma Ariff Abd Aziz, 29, berkata perkara itu timbul selepas berita dia melamar A Aida disiarkan hingga ada yang memberi pandangan mereka tidak sesuai untuk bersama.

"Sebagai bakal suami, saya akan melindungi dan pertahankan dirinya. Sejak kebelakangan ini terlalu banyak komen mengarut dan negatif ditujukan kepada kami di Instagram masing-masing.

"Sejujurnya, saya marah dengan tindakan mereka. Cuma, saya beritahu Aida tidak melayan setiap komen mereka kerana nanti akan menjadi-jadi.

"Apa boleh dikatakan komen mereka sangat keterlaluan kerana membabitkan maruah diri seperti janda terlanjur usia. Apabila sampai tahap ini, bagi saya ia kurang ajar," katanya kepada Harian Metro.

Ariff yang juga pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf berkata, sepatutnya orang ramai perlu mendokan yang baik-baik apatah lagi ia membabitkan perkahwinan.

"Dalam sejarah Islam sendiri iaitu pada zaman Nabi kita perkahwinan membabitkan pasangan yang berbeza usia ini sudah berlaku. Jadi, apabila saya nak berkahwin dengan Aida, kenapa kena hina?

"Walaupun secara luaran Aida nampak 'happy go lucky', tetapi jauh di sudut hatinya dia sedih dengan perkara ini. Pesan saya kepada netizen, sila jaga tepi kain sendiri," katanya.

Ditanya mengenai majlis nikah bakal berlangsung, Ariff mengakui dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami.

Malah, hubungan singkat yang terjalin antara mereka bukan alasan untuk membawa ke fasa lebih serius.

"Saya sudah bekerjasama dengan syarikat A Aida Productions lebih kurang empat tahun. Namun, ketika itu antara kami tidak ada sebarang hubungan melainkan antara majikan dan pelakon.

"Namun, baru beberapa bulan lepas hubungan kami jadi rapat. Bagi saya, ini adalah suratan dan ketentuan yang sudah ditetapkan Allah SWT. Saya berharap majlis berjalan lancar dan doakan yang baik-baik untuk kami," katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 1:52pm
d