utama

Impian hartawan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tidak hanya cemerlang dalam bidang seni untuk tempoh 22 tahun, penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mencipta nama sebagai ahli perniagaan.

Memulakan langkah berani dengan melancarkan rangkaian kosmetik sendiri, SimplySiti pada 2010, dalam diam jenama itu kini menyambut ulang tahun kelapan sekali gus mengukuhkan empayar perniagaan dibina.

Sama seperti kebanyakan ahli perniagaan lain, Siti, 39, turut memasang impian untuk pergi lebih jauh dan tidak terhad dalam pasaran tempatan.

Malah, kejayaan dicipta ahli perniagaan muda Kylie Jenner hingga diiktiraf sebagai hartawan pada usia 21 tahun menjadi pembakar semangat untuk Siti menggenggam gelaran itu suatu hari nanti.

Bagi penyanyi lagu Comel Pipi Merah ini, tidak ada yang mustahil jika setiap apa yang dikerjakan disertakan dengan usaha berterusan.

“Seronok dengar gelaran ‘billionaire’ itu apatah lagi dicapai pada usia muda seperti Kylie. Namun, saya belum sampai tahap seperti dia. Secara peribadi, saya juga menyimpan cita-cita untuk menjadi sepertinya.

“Kalau kena cara, pasti boleh. Paling penting impian perlu ada dan perancangan serta strategi mesti betul. Cuma, kita tidak boleh samakan produk saya dengan Kylie kerana produk miliknya dijual seluruh dunia.

“Saya pula masih secara perlahan-lahan mendaki mencapai sasaran ditetapkan. Jika produk ini kekal berada di pasaran sekali gus tempias kejayaan kena pada saya,” katanya.

Namun begitu, Siti yang ditemui pada majlis pelancaran SimplySiti Gold Edition sempena ulang tahun kelapan jenama itu kelmarin, menolak untuk terbabit dalam gimik yang boleh menjejaskan kredibiliti dan imej produk walaupun perkara itu menjadi elemen penting bagi kebanyakan ahli perniagaan sekarang.

Bagi Siti, gimik yang dicipta perlu lebih bertanggungjawab dan bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

“Gimik sangat penting dalam apa jua perniagaan. Bunyi gimik itu saja sudah menarik, tetapi ia perlu dihasilkan dalam cara paling berkesan. Dalam erti kata lain, ia mestilah sesuatu yang bertanggungjawab.

“Saya tidak boleh pentingkan diri semata-mata untuk melariskan produk hingga mengabaikan perkara pokok. Macam produk saya, setiap daripadanya ada umur yang ditetapkan. Bukan main pakai saja,” katanya.

Namun, Siti juga mengakui sepanjang lapan tahun itu pelbagai cabaran ditempuh hingga pernah terbit rasa putus asa dalam diri.

“Masuk tahun ketiga berniaga, saya hampir putus asa dan ingin fokus dalam bidang nyanyian saja. Mujur suami memberikan sokongan. Jadi, dia banyak memberikan kata-kata semangat.

“Saya fikir, kalau orang lain boleh, saya juga mesti boleh. Alhamdulillah, saya masih di sini dengan sokongan banyak pihak. Setiap perkara dilalui mematangkan saya,” katanya.

Lagu baru ciptaan Hael Husaini

Selepas setahun berehat dalam bidang nyanyian sejak disahkan hamil hingga selamat bersalin, kerinduan peminat terhadap Siti tidak pernah padam.

Sebagai hadiah, sempena kelahiran anak sulungnya, Siti Aafiyah pada Mac lalu, Siti sebelumnya melancarkan single Comel Pipi Merah (CPM).

Kemudian, pada Ramadan lalu, Siti merakamkan pula lagu CPM itu dalam versi Islamik iaitu Cinta Syurga duet bersama Khai Bahar.

Namun, sesuatu yang lebih menggembirakan apabila Siti yang mendapat jolokan diva pop ini bakal merakamkan lagu baru ciptaan Hael Husaini.

“Saya sudah minta lagu daripada Hael sejak Ramadan lalu. Namun, saya memahami kesibukan kerjanya. Disebabkan itu, saya merakamkan lagu Cinta Syurga terlebih dahulu.

“Selepas lagu yang dicipta siap, dia terus berikan kepada pengurus saya. Sekali dengar saja, saya sudah suka dan dapat ‘tangkap’ melodi.

“Insya-Allah, jika tidak ada halangan lagu ini akan dirakamkan pada September ini. Ia juga bakal dilancarkan tahun ini juga,” katanya.

Keputusan Siti itu tidak mahu dibuat secara terburu-buru apatah lagi dia masih dalam proses mendapatkan semula kualiti suara selepas bersalin.

“Aidilfitri lalu saya menjayakan persembahan dengan menyampaikan beberapa lagu. Berdebar juga, tetapi selepas satu lagu saya dapat rentak dan okey.

“Namun, selepas mendengar semula nyanyian, saya berasakan belum cukup bagus. Diakui selepas setahun berehat vokal saya ‘pancit’ dan suara berkarat. Pada masa sama, saya kena dapatkan semula stamina,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 9:01am
d