utama

Rayu bantu kos bedah jantung anak

Oleh Asmah Rusman dan Amira Eizan Azman

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun memerlukan sumbangan kewangan sebanyak RM80,000 bagi menampung kos pembedahan saluran jantung tersumbat yang tertangguh setahun lalu.

Kanak-kanak berkenaan, Tan Chin Sen dikesan mempunyai masalah itu ketika menjalani rawatan berkala di Hospital Gleaneagle Kuala Lumpur tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut bapanya, Tan Yong Aik, 51, dia terpaksa melupakan hasrat berkenaan dan tidak berjumpa doktor bagi membincangkan perkara itu kerana kesempitan wang.

“Saya tidak mampu menampung kos pembedahan dan rawatan berkenaan meskipun doktor memberitahu proses itu perlu dilakukan segera bimbang anak bongsu saya berdepan masalah lain.

“Wang simpanan saya sudah habis dibelanjakan untuk rawatan diri sendiri selain rawatan anak yang perlu berjumpa doktor setiap enam bulan,” katanya.

Bapa enam anak itu berkata, dia tidak mampu bekerja selepas disahkan mempunyai masalah jantung dan sudah dua kali menjalani pembedahan.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori tetapi kini saya hanya membantu isteri (Loi Kang Ngee, 45) mengambil upah membuat kuih-muih bagi menyara hidup kami sekeluarga.

“Dengan pendapatan kira-kira RM700 sebulan kami tidak mampu membayar kos pembedahan yang dianggarkan RM80,000,” katanya ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya pernah menjalani pembedahan ketika berusia tiga bulan kerana masalah sama selain turut menghidap masalah jantung berlubang.

“Kali ini doktor memberitahu anak saya perlu menjalani pembedahan menukar salur jantung yang tersumbat bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan yang boleh mengancam nyawa.

“Kami amat berharap sumbangan ini dan merayu kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan sekali gus membolehkan anak saya segera menjalani pembedahan,” katanya.

Sekiranya jantung anaknya tidak dapat berfungsi dengan baik, kanak-kanak itu akan berdepan masalah sukar bernafas selain tidak boleh aktif seperti rakan sebayanya.

“Anak saya sudah bersekolah dan saya bimbang penyakit ini akan membataskan pergerakannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Chin Sen boleh menghulurkan sumbangan ke MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank, 514105323170.

Cek boleh dihantar ke Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur, atas nama pesakit.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 9:56am
d