utama

[UPDATE] Bukan RM2,000, tapi RM280...

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

“DAGING wagyu untuk hidangan Perdana Menteri dan tujuh lagi tetamu khas di meja utama pada majlis Angkat Sumpah Ahli Parlimen, Isnin lalu hanya berharga RM280 sekilogram, bukannya RM2,000 seperti tular di media sosial.

“Ia bukan ditempah oleh pengurusan Parlimen sebaliknya pemberian ikhlas daripada pihak katerer bagi meraikan kerajaan baharu dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Pengurus Putrade Property Management Sdn Bhd Wan Abdulah Wan Mohamad.

Wan Abdullah berkata, sejak sekian lama menjadi katerer di Parlimen, ini adalah kali pertama menu hidangan untuk meja utama menjadi isu hingga tular di media sosial.

Menurutnya, menu yang dihidangkan adalah nasi putih, dada ayam kuah percik, udang harimau goreng mentega, daging wagyu masak kicap kentang, rusuk kambing goreng berempah, tauhu Jepun kukus dengan brokoli, gado-gado, kuah kacang, buah-buahan dan air jus.

Katanya, keseluruhan caj makanan untuk lapan tetamu di meja utama hanya RM400 iaitu RM50 seorang dan hidangan istimewa daging wagyu masak kicap kentang itu adalah pemberian ikhlas daripada pihak katerer untuk meraikan Tun Dr Mahathir.

“Saiz hidangan juga bukanlah besar iaitu hanya 160 gram sahaja untuk seorang, dan pemilihan menu juga sudah dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ia disediakan.

“Tular kononnya hidangan mewah berharga ribuan ringgit itu tidak betul, sepatutnya pihak yang terbabit mendapatkan penjelasan daripada kami dan bukannya membuat fitnah di laman sosial," katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Wan Abdullah berkata, pihaknya kecewa apabila hidangan daging itu dijadikan isu kerana niat utama pihak katerer untuk merai pembentukan kerajaan baharu.

Katanya, pihak katerer memahami keadaan Dr Mahathir dan pemilihan daging lembut itu juga adalah untuk membantu memudahkan beliau menikmati hidangan berkenaan.

“Daging biasa agak keras dan tidak berapa sesuai untuk dinikmati oleh Tun M yang sudah berusia 93 tahun.

“Beliau adalah ketua negara dan tidak salah jika kami menjaga dengan teliti pemakanannnya,” katanya.

Sementara itu, Wan Abdullah berkata, jumlah perbelanjaaan kerajaan untuk meraikan pelantikan Ahli Parlimen baharu pada majlis berkenaan hanya RM18,750.

“Kos itu adalah caj makanan untuk keseluruhan 450 tetamu,” katanya.

Kontroversi hidangan daging wagyu masak kicap itu mula tular selepas seorang pengguna Twitter memuat naik gambar menu hidangan berkenaan di laman sosial.

Pemilik akaun Duke of KL memuat naik status "Hutang negara 'RM 1 Trilion'. Rakyat pula terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi."

“Tapi di Dewan Rakyat, mereka jamu daging Wagyu yang berharga RM2,000 sekilo. Tahniah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Berita berkaitan

Mak aai... mahalnya daging!

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 7:06pm
d