utama

Ubat kerinduan peminat

Oleh Ramlah Zainal

Meskipun bergelar penyampai radio Kool FM sejak dua tahun lalu, karier nyanyian tetap terpahat utuh di jiwa Haiza Hanafi.

Malah, kata pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin, 38, sesibuk mana pun tugasnya di konti radio dia masih memenuhi undangan persembahan setiap kali ada kelapangan.

“Maklumlah, saya mula menyanyi pada usia 15 tahun dan masih aktif memenuhi undangan persembahan sampailah sekarang.

“Jika sehari tidak menyanyi, saya berasa pelik kerana ia cabang seni yang memberi kepuasan kepada diri.

“Macam mana penat sekalipun, saya tetap akan memenuhi undangan menyanyi dan mengacara majlis pada sebelah malamnya selepas selesai tugas di konti,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka bersama peminatnya di Kompleks Sukan DBKL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terbaru, kata penyanyi yang kembali menempa nama menerusi program Gegar Vaganza ini, dia bakal muncul dengan single terbaru untuk mengubat kerinduan peminat.

“Setakat ini, saya sudah ada satu lagu ciptaan Aepul Roza.

“Lagu baru ini belum ada judul dan tidak dirakam lagi. Ia masih ada elemen dangdut yang pernah menaikkan nama saya dalam bidang nyanyian.

“Saya tidak mahu kikis irama dangdut kerana yang penting cara kita untuk suntik nilai komersial pada sesebuah karya manakala satu lagi lagu baru masih dalam perbincangan,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Daq Diq Duq ini, pernah muncul dengan lagu duet bersama Aepul Roza iaitu Jangan Pernah Berdusta yang berjaya melangkah ke separuh akhir Muzik-Muzik 32, tahun lalu.

Selain itu, dia pernah merakamkan dua lagu raya iaitu Rindu Di Anjung Lebaran ciptaan S Atan dan Ini Baru Raya berduet dengan penyanyi Fazli Zainal.

Tidak percaya pada gimik

Mengulas mengenai gimik yang digunakan segelintir artis untuk melancarkan produk baru, Haiza tidak bersetuju kerana beranggapan ia akan mengundang fitnah.

“Saya tidak setuju melakukan gimik bagi memperkenalkan lagu kerana ia bukan cara yang sihat.

“Saya juga berasa gimik seperti itu tidak sesuai untuk artis berpengalaman seperti saya,” katanya.

Diminta komen gimik pergaduhan penyanyi dangdut Ifa Raziah dan Sheeda pula, Haiza mengakui turut berasa tertipu dengan gimik berkenaan.

“Sebagai penonton kita akan fikir bukan-bukan sekali gus menjadi punca perbalahan di laman sosial.

“Bagaimanapun, terpulang kepada mereka. Jika mereka berasa itu boleh membantu kerjaya seni atau melariskan produk baru, terserah,” katanya.

Terdahulu, isu video pergaduhan serta serang-menyerang penyanyi dangdut Sheeda dan Ifa Raziah di tempat letak kereta menimbulkan kekecohan di media sosial.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kedua-dua penyanyi itu mendedahkan ia sekadar gimik.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 8:52am
d