utama

Nak kerja pun susah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Impian seorang gadis yang dibesarkan keluarga angkat untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tidak kesampaian kerana tiada kad pengenalan (MyKad) yang sah.

Keadaan itu membuatkan Nur Syafiqa Abdullah, 21, yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), empat tahun lalu dengan keputusan 6A tertekan.

Dia yang tinggal di Kampung Bunga Mas, Penambang berkata, sebelum ini dia ke sekolah hingga mengambil SPM menggunakan sijil anak angkat yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, pengesahan itu tidak melayakkan dia memohon IPT disebabkan krisis identiti diri.

“Saya dibesarkan ibu angkat (Mek Ismail, 60) sejak berusia dua bulan selepas ibu kandung warga Indonesia menyerahkan saya kepadanya

“Ketika itu, ibu kandung turut menyerahkan surat beranak yang tidak lengkap, namun ia diguna pakai untuk persekolahan saya sehingga tingkatan tiga sebelum memperoleh sijil anak angkat yang sah.

“Ketika berusia 13 tahun, saya dan ibu angkat berusaha membuat kad pengenalan, tetapi gagal kerana taraf warganegara ibu dan ayah pula tiada identiti diri.

“Saya buntu dan tertekan kerana tidak dapat sambung pengajian walaupun terima tawaran lebih lima IPT, empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Nur Syafiqa berkata, dia dilahirkan di Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada Mek dan ibu kandungnya menghilangkan diri selepas itu.

Kini, bukan hanya sukar melanjutkan pengajian, dia juga tidak dapat bekerja kerana status dirinya, malah setiap hari gadis itu mengenang nasib diri dan berharap impiannya terlaksana.

Sementara itu, Mek berkata, mereka sekeluarga berusaha membuat kad pengenalan anak angkatnya itu lebih daripada tiga kali, namun permohonan mereka ditolak tanpa sebarang alasan.

“Anak ini saya jaga sejak bayi dan dianggap sebagai anak sendiri, namun sedih kerana dia tidak dapat menunaikan impian melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya merayu JPN atau pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib anak angkat saya,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 9:39am
d