utama

Dirogol bergilir-gilir belakang tong sampah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LIMA remaja lelaki yang merogol remaja perempuan di sebuah flat di Puchong Permai, Subang, dibelasah orang ramai termasuk ahli keluarga mangsa, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, kelima-lima remaja lelaki terbabit yang berusia 16 hingga 18 tahun dikatakan ‘diserang’ ahli keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan mereka yang dikatakan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima laporan daripada ahli keluarga suspek yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada Isnin lalu.

"Difahamkan pada Sabtu lalu, remaja perempuan itu dirogol secara bergilir-gilir di belakang tong sampah di tingkat bawah blok flat berkenaan oleh kelima-lima suspek terbabit.

"Orang ramai termasuk ahli keluarga mangsa yang menahan lima suspek berkenaan pada Ahad lalu membelasah mereka sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Kesemua suspek berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis USJ8 untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian itu.

"Kami sudah membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol serta merusuh.

"Kelima-lima suspek yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan menerima rawatan. Kesemua mereka kini masih dalam tahanan reman bagi siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 10:31am
d