utama

Elisya jaga nama baik kakak

Oleh Ardini Sophia Sina

Pelakon jelita, Elisya Sandha tidak mahu terlalu bergantung kepada kakaknya yang juga pelakon popular, Fasha Sandha dan mahu mengukir karier mengikut acuan sendiri.

Jika diikutkan, dia boleh saja bergantung kepada Fasha yang pasti sudah memiliki banyak ‘contact’ atau ‘network’ dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, Elisya mengakui banyak meminta tunjuk ajar daripada Fasha.

Perkara yang sering diingatkan kakaknya itu adalah mengenai ketepatan masa. Ramai yang tahu Fasha individu yang sentiasa mematuhi jadual dan hadir lebih awal dalam setiap acara membabitkan dirinya.

Sebagai adik, Elisya punya rasa tanggungjawab untuk menjaga nama baik kakaknya. Dia berusaha sebaik mungkin untuk berdisiplin sama seperti Fasha.

“Dia mahu saya berdisiplin dalam menepati jadual. Siapa yang pernah bekerja dengan dia pasti tahu sikapnya yang datang lebih awal sebelum ‘call time’.

“Sebagai adik, saya mengikut nasihat yang diberikan. Tambahan pula, dia sudah lebih dulu makan garam dalam dunia seni. Apa saja yang dilakukan, saya akan rujuk kepadanya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Elisya Mohd Faizal itu menegaskan, dia tidak pernah menggunakan populariti Fasha untuk mendapatkan peluang berlakon.

Gadis ini mahu membuktikan bakatnya dan bukan sekadar menumpang populariti.

Sama seperti pelakon lain, Elisya juga bermula dari bawah.

Dia menghadiri uji bakat yang dijalankan oleh sesebuah produksi sebelum diterima untuk melakonkan watak berkenaan.

“Saya ingin buktikan mampu berdiri sendiri sebagai pelakon tanpa dibayangi atau menumpang populariti Fasha. Saya mahu berdikari dalam mencapai kejayaan sebagai pelakon.

“Fasha seorang pelakon yang berbakat besar. Saya baru saja dua tahun bergelar pelakon. Saya tidak mahu mereka beranggapan mampu berlakon sama seperti kakak.

“Saya akan maklumkan siap-siap kepada produksi, kalau mereka berasakan saya sesuai dan mampu bawa watak itu, bolehlah beri peluang. Tetapi, kalau tidak sesuai lebih baik jangan tawarkan,” katanya.

Menurutnya, dia selesa dipandang sebagai pelakon baru yang sedang belajar dan menimba pengalaman.

Hakikatnya, memang itulah kebenarannya dan dia masih memperbaiki mutu lakonannya.

Tidak terdesak untuk memperkenalkan namanya, Elisya memilih untuk perlahan-lahan dikenali menerusi hasil kerja dan bukannya disebabkan cerita ‘murahan’.

“Saya tidak mahu nama dikenali kerana kontroversi. Biarlah lambat asalkan orang kenal saya kerana bakat. Saya mahu dikenali sebagai pelakon yang pandai berlakon, bukan kerana cerita panas,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 9:05am
d