utama

Kudrat 72 tahun

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Akibat desakan hidup, seorang warga emas berusia 72 tahun sanggup mengambil upah memotong rumput untuk menyara dirinya dan keluarga.

Abdullah Derahim berkata, dia terpaksa mencari rezeki pada usianya begitu demi kelangsungan hidup bersama seorang anak angkat perempuan dan cucu yang masih bersekolah rendah.

Menurutnya, upah diperoleh sekitar RM200 sebulan bergantung permintaan, hanya cukup untuk makan minum mereka dan menampung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 yang diterima setiap bulan.

“Jika diikutkan, ia memang tidak cukup untuk perbelanjaan keluarga terutama cucu masih bersekolah dan sewa rumah pula RM100 sebulan.

“Kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan kami terpaksa berjimat cermat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telipot di sini, semalam.

Abdullah menetap di kampung itu bersama anak angkatnya, Faridah Abdullah, 38, dan cucu, Zurin Erisya M Zulhairie, 11.

Sebelum itu, dia menerima kunjungan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, Rosliza Ahmad dan sukarelawan dari Volunteer iCare, Saripah Ismail yang hadir menyampaikan bantuan barang keperluan harian.

Menceritakan kisah hidupnya, Abdullah berkata, Faridah diambil menjadi anak angkat ketika berusia 16 hari selepas dia diserahkan sendiri oleh ibunya.

Katanya, dia masih bertenaga ketika itu termasuk dapat mengayuh beca untuk mencari rezeki dan menjaga Faridah seperti anak sendiri bersama arwah isterinya, Mek Kechik Long, apatah lagi mereka tidak dikurniakan anak.

“Bagaimanapun, selepas Faridah berkahwin dan melahirkan seorang anak perempuan, dia mengalami tekanan perasaan dan ditinggalkan suami.

“Faridah tidak boleh menguruskan keluarganya dan saya ambil alih tanggungjawab itu sepenuhnya.

“Isteri saya pula meninggal dunia lebih dua tahun lalu,” katanya yang memberitahu bimbangkan nasib anak cucunya itu jika dia dijemput Ilahi.

Sementara itu, Zurin Erisya berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa datuknya yang banyak berkorban menjaganya dan ibu yang sakit.

“Setiap hari, datuk tidak pernah mengeluh apabila dia perlu menghantar dan mengambil saya di sekolah dengan mengayuh beca.

“Melihat pengorbanan dan kesungguhan datuk, membuatkan saya berjanji pada diri sendiri untuk belajar bersungguh-sungguh supaya boleh berjaya dan menjadi orang yang berguna,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 9:36am
d