utama

Cucuk-cucuk terus putih...

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Keghairahan sesetengah individu yang ingin kelihatan cantik dan menawan secara cepat diambil kesempatan ‘doktor dalam talian’ dengan menawarkan promosi pemutihan kulit segera.

Kumpulan tidak bertauliah ini bijak mengatur strategi mengaut keuntungan dengan menawarkan promosi jaminan putih segera dengan menawarkan doktor dan jururawat di ‘klinik panel’ bagi mereka yang tidak tahu menyuntik diri sendiri.

Pemantauan Harian Metro (HM) mendapati iklan promosi pemutihan kulit membabitkan produk gel pengelupasan dan suntikan pemutihan terutama vitamin C menggunakan ampul mengandungi cecair jernih masih berlambak dijual di laman web atau media sosial Facebook (FB) dan Instagram (IG).

Hanya dengan sekali carian saja, terpapar semua iklan berserta beberapa testimoni dengan gambar kulit gebu dan cantik kononnya hasil penggunaan produk pemutihan segera ini, sekali gus menarik minat sesiapa saja mencubanya.

Wartawan HM membuat penyamaran sebagai pembeli bagi mendapatkan gambaran sebenar bagaimana kegiatan tanpa preskripsi doktor ini memperdayakan orang ramai terutama golongan wanita dan lelaki.

Kami cuba menghubungi beberapa penjual melalui kiriman mesej di WhatsApp dan hasilnya mendapati rata-rata peniaga tidak mahu menjawab panggilan telefon seperti yang tertera.

Dalam perbualan teks itu, penjual mendakwa set suntikan pencerahan terbabit diperoleh dari Korea dan mengandungi vitamin C dan kolagen dan boleh disuntik di klinik sekiranya pengguna tidak tahu kaedah menggunakan suntikan.

“Kalau tak pandai, tak boleh suntik sendiri. Sis bantu awak dapatkan service injection di klinik.

“Jururawat atau doktor buatkan. Dorang (mereka) biasa inject so dia dah tahu macam mana nak buat,” katanya.

Penjual juga mendakwa tiada kesan sampingan dengan pengambilan produk suntikan itu berikutan ia mendapat kelulusan pakar kulit antarabangsa.

“Tak ada kesan sebab produk ini ada CFDA (China Food and Drug Administration), kelulusan pakar kulit sedunia bermaksud bebas daripada dadah, hormon dan sebagainya. Hanya vitamin C saja untuk kesihatan kulit.

“Suntikan ini ambil seminggu sekali saja dan kesan bergantung pada metabolisme badan seseorang kalau darah pun comel, toksin dalam badan kurang kadang-kadang dua atau tiga kali suntikan saja sudah boleh nampak kesan,” katanya.

Sementara itu, peniaga pengelupasan kulit mengaku produknya yang dijamin memberi kesan putih selepas proses pengelupasan tiga hingga tujuh hari itu tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini bukan produk tempatan tetapi buatan Perancis. Dorang punya QC (kawalan kualiti) lagi tinggi daripada Malaysia. Produk timbang kilo pun boleh ada KKM.

“Produk ini sangat selamat. Dah banyak orang beli dan result pun awesome,” katanya.

Seorang lagi penjual produk losen menyakinkan kesan penggunaan produk itu sekadar menanggalkan sel kulit mati untuk menghasilkan kulit baru lebih cantik dan putih.

“Senang je nak jadi putih dik. Sapu je losen ini dan dalam masa seminggu, confirm putih.

“Jangan risau mengenai kulit yang mengelupas itu. Nanti ok sendiri,” katanya yang dihubungi melalui Instagram.

Dijual pada harga serendah RM50 sebotol, losen pengelupasan ‘oren’ yang dipercayai produk dari Filipina itu mula tular di laman sosial dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengguna.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 9:56am
d