utama

JDT berpesta di Larkin

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan Kelantan terus merana tatkala kekal di kedudukan bawahan liga selepas membelasah pasukan itu 4-0 pada satu-satunya aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kekalahan skuad The Red Warriors (TRW) itu pasti meletakkan pasukan itu mengangkat bendera putih sebagai tanda tidak mampu lagi untuk bertahan dalam saingan liga elit domestik ketika berbaki dua perlawanan yang bakal diharungi.

Bagi JDT yang sudah awal dinobatkan juara liga lima musim berturut-turut melakukan rombakan kecil pada pertembungan itu selepas tanpa kelibat kapten Hariss Harun dan Corbin Ong yang digantung satu perlawanan.

Langkah yang dibuat pengendali JDT, Raul Longhi dengan melakukan perubahan di posisi tengah apabila Afiq Fazail mengisi kekosongan Hariss dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menguatkan bek kiri mengambil alih tugas Corbin.

Gerakan yang dimulakan Natxo Insa pada minit ke-11 hampir mencemaskan gawang pelawat apabila Fernando Elizari yang tidak dikawal pantas merembat bola leret memaksan penjaga gol, Shahrizan Ismail merebahkan badan untuk menangkap bola kemas.

Serangan bertali arus skuad Harimau Selatan nyata mengundang cemas di benteng pelawat pada minit ke-29 apabila bola sepakan lintang Safawi Rasid ditanduk kemas Fadhli Shas namun sekali lagi Sharizan bertindak cemerlang menangkap bola.

Sedar betapa tuan rumah sering mengasak untuk memburu gol, benteng pelawat yang diterajui Casio Francisco dan Shahrul Nizam Ros Hasni begitu berdisplin mengemudi posisi itu dan menyukarkan barisan serangan JDT gagal menembusi gawang gol.

Taktikal pengendali TRW, Yusri Che Lah yang mengamal corak permainan berlapis selepas posisi serangan, tengah dan pertahanan saling membantu antara satu sama lain beri kesukaran untuk barisan serangan JDT mencari gol dan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-50 selepas bola sepakan lencong Fernando Elizari memerangkap Sharizan yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

Selang enam minit kemudian, pelawat terus menderita selepas Afiq menolak bola mudah menewaskan Shahrizan tatkala menerima bola tandukan Marcos Antonio hasil bola sepakan sudut Safawi.

Tuan rumah terus bernafsu untuk mencipta jaringan dan pada minit ke-79 berpunca daripada sepakan sudut pemain gantian gagal ditumbuk kemas Shahrizan dan Safawi yang tidak di kawal mudah merembat bola untuk meletak kedudukan 3-0.

Ketika aksi berbaki lima untuk ditamatkan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas Kunanlan dikasari oleh pemain pertahanan pelawat dan Safiq mudah menyepak masuk untuk memastikan kemenangan bergaya 4-0 menewaskan TRW.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 11:15pm
d