utama

Izzue kena aniaya

Oleh Najiy Jefri

Golongan selebriti sering menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang menjual nama atau gambar mereka bertujuan melariskan sesuatu produk.

Baru-baru ini, pelakon Izzue Islam antara yang berdepan situasi buruk itu apabila wujud akaun palsu menggunakan nama dan wajahnya untuk memperdaya mangsa terutama pengguna media sosial.

Izzue berkata, dia terkejut apabila ada individu menghantar mesej peribadi di Instagram miliknya mendakwa ditipu selepas barangan dijanjikan tidak sampai.

“Pada mulanya saya anggap mesej itu sekadar gurauan kosong. Namun, apabila ada peminat mula marah-marah di ruangan komen, saya sedar perkara ini serius.

“Saya dituduh menipu duit peminat yang mendakwa membeli telekung yang saya jual sejak Ramadan lalu sedangkan saya tidak pernah menjalankan perniagaan itu.

“Lebih menyedihkan ada yang mendakwa mereka kerungian ribuan ringgit. Saya sangat kesal dan sedih apabila mereka sanggup memperdaya orang dengan cara yang kotor,” katanya.

Sejak insiden itu, dia sentiasa mengingatkan pengikutnya supaya tidak mudah tertipu dengan akaun laman sosial palsu.

“Alhamdulillah akaun saya sudah mendapat status rasmi daripada beberapa laman sosial yang saya miliki supaya peminat dapat membezakan akaun sebenar atau palsu,” katanya.

Izzue berkata, dia juga sudah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu penipuan jual beli telekung itu.

“Saya masih menunggu maklum balas daripada polis dan SKMM selepas membuat laporan minggu lalu.

“Saya juga sudah diminta pihak SKMM untuk menyenaraikan nama akaun palsu itu untuk diambil tindakan. Saya berharap kejadian ini tidak berulang lagi.

“Setiap individu perlu sedar yang setiap negara ada undang-undang dan jangan sesekali mengambil jalan singkat untuk memperdaya orang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Ops Din Sardin ini akan membintangi pementasan teater Tanah Akhirku sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 dan program realiti, Super Spontan Xtravaganza.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 4:57am
d