utama

Pelihara imej sebagai Puteri Muslimah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Walaupun namanya semakin kukuh di Indonesia, tidak bererti Uyaina Arshad mengetepikan tugas sebagai pengacara di tanah air.

Uyaina, 26, yang juga juara Puteri Muslimah Asia berkata, dia akan memastikan apa yang dilakukannya seimbang baik di Malaysia atau Indonesia.

“Alhamdulillah, selepas menjuarai program Puteri Muslimah Asia, saya makin dikenali di Indonesia dan kerjaya pun semakin melebar di sana.

“Namun, saya tetap menggalas tanggungjawab sebagai pengacara di negara ini dan kini masih mengendalikan program WHI (Wanita Hari Ini) di TV3,” katanya kepada Bling!.

Bercerita mengenai perubahan dalam kerjayanya selepas mencipta nama di sana, Uyaina mengakui turut terkesan dari segi sambutan di media sosial.

“Walaupun saya orang Malaysia, sokongan yang diberikan masyarakat di sana tidak pernah kurang.

“Di media sosial contohnya, rata-rata memberikan sokongan. Masyarakat Malaysia juga sentiasa berada di belakang saya memberikan sokongan,” katanya.

Namun, bekas pengacara program Nona ini juga mengakui turut menerima komen kurang enak.

“Dalam banyak-banyak komen positif, tentunya akan ada komen negatif. Jika tidak keterlaluan, saya abaikan saja tapi kalau melampaui batas, saya akan padam dan sekat akaun itu,” katanya.

Dalam pada itu, Uyaina juga lebih selesa ditemani ibunya jika ke mana-mana.

“Ibu orang yang sentiasa ada dengan saya. Dia akan sentiasa ingatkan saya dalam banyak hal.

“Satu lagi faedah yang saya rasakan apabila ibu ada bersama adalah persepsi dan layanan orang luar kepada saya. Selalunya mereka akan lebih menghormati kita,” katanya.

Ibunya juga kerap mengingatkan dia memastikan imejnya sebagai Puteri Muslimah dan wanita bertudung tidak melangkaui batas syariah.

“Sebagai Muslimah dan bergelar selebriti, saya perlu menjaga banyak benda kerana ada tanggungjawab sosial.

“Jadi, ibu saya yang akan memantau media sosial saya dan jika ada yang dimuat naik tidak bersesuaian dengan imej saya, dia akan tegur,” katanya.

Pertama kali mengacara program hiburan

Rezeki buat gadis ini apabila dia ditawarkan menjadi pengacara program hiburan di Indonesia iaitu Liga Dangdut Asia.

Uyaina berkata, dia akan ke Jakarta untuk mengacara program berkenaan yang ditayangkan secara langsung, Oktober ini. Dia dijangka berada di sana sehingga Disember ini.

Apa yang menarik, ini program hiburan pertama yang akan dikendalikannya sepanjang kerjayanya sebagai pengacara.

“Sebelum ini, saya pernah mengacarakan program berbentuk majalah seperti Nona di TV3 dan kini, WHI di saluran sama.

“Di Indonesia, saya pernah diberi tanggungjawab sebagai pengacara program Akademi Sahur Asia 2018 (Aksi 2018) pada Ramadan lalu, namun itu bukanlah program hiburan.

“Jadi, Liga Dangdut Asia akan menjadi program hiburan pertama saya. Ia juga program hiburan pertama kendalian saya di Indonesia,” katanya.

Walaupun memiliki pengalaman beberapa tahun sebagai pengacara, Uyaina mengakui masih ada rasa gementar.

“Gementar memang ada, tapi saya banyak bertanya kepada pengacara Indonesia yang akan bekerja dengan saya seperti Irfan Hakim dan Ramzi,” katanya.

Apa yang pasti, Uyaina akan terus bekerja keras untuk membawa kerjayanya ke puncak kerana dia tahu apa yang dilakukan untuk dirinya.

“Saya selalu berpesan kepada diri sendiri. Apabila kita tahu apa yang kita mahu lakukan, kita takkan tersasar kerana sudah ada hala tuju,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 5:26am
d