utama

Mencabar tapi tidak putus asa...

Oleh D J Dolasoh

SUAMI isteri boleh dianggap keluarga pendakwah apabila mereka giat menjalankan usaha berdakwah ke lebih 10 lokasi dalam negara tanpa menghiraukan pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi.

Mohammad Hakimi Abdul Mutalib, 31, dan isteri Nurul Atiqah Nazaruddin, 30, turut membawa anak mereka As Sayyidah Sumayyah, 12 bulan, menjelajah ke Perak, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak demi untuk menyampaikan dakwah Islam.

Bagi keluarga ini, berdakwah secara keluarga mendapat lebih perhatian dan keyakinan orang ramai termasuk Orang Asli dan pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman.

“Hidayah itu milik Allah. Meskipun ramai menyatakan rasa senang dan gembira dengan kehadiran kami sekeluarga ke kampung mereka, tetapi tidak semestinya mereka mahu masuk Islam.

“Saya tidak berputus asa walaupun usaha berdakwah sejak 2014 hingga kini hanya berjaya mengislamkan tidak sampai 20 orang, manakala isteri pula hanya seorang kerana saya yakin hidayah itu milik Tuhan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohammad Hakimi berasal dari Kampung Kerunai, Geraik, manakala isterinya dari Rawang, Selangor menghadiri program dakwah sekurang-kurangnya lima kali sebulan.

Terbaharu, dia bersama isteri dan anak berdakwah ke perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Kucing, Ulu Tembeling, Pahang dengan menaiki bot dari Jerantut selama lima jam termasuk terpaksa menolak bot yang dinaiki mereka kerana air cetek.

Menurutnya, dia sudah ke perkampungan itu lebih lima kali disebabkan penduduk Orang Asli di situ masih kurang pengetahuan agama termasuk tidak tahu cara mengerjakan solat, membaca al-Quran dan bersuci.

“Kami tiga beranak sudah mesra dengan penduduk di situ dan sayangkan akidah mereka yang masih rapuh serta dikhuatiri akan kembali ke pegangan asal mereka iaitu animisme atau tiada pegangan agama.

“Justeru, kami berulang ke perkampungan berkenaan dengan memberi pengetahuan agama, mengajar cara bersolat, bersuci dan mengajar al-Quran. “Alhamdulillah, kini hampir semua mereka menyambut baik kedatangan kami,” katanya.

Mohammad Hakimi memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir manakala isterinya Nurul Atiqah, Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau pada mulanya belajar berdakwah daripada gurunya seorang pendakwah terkenal Mohd Fadli Yusof serta turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Mohammad Hakimi yang bergerak menyampaikan dakwah melalui Kembara Syahadah Resources berkata, antara cabaran lain yang perlu dihadapi adalah kekurangan dana untuk bergerak lebih aktif terutama ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, hampir RM10,000 sebulan diperlukan untuk menjalankan misi dakwah termasuk bagi membawa barangan keperluan untuk diagihkan kepada masyarakat di lokasi berkenaan dan berharap sumbangan orang ramai dalam bersama-sama melaksanakan usaha dakwah.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 8:54pm
d