utama

PDRM ikat FELDA United

Oleh Amin Ridzuan Ishak

MARAN: Sambutan kejayaan FELDA United menjulang trofi Liga Perdana sedikit tercalar apabila hanya mampu seri 2-2 menentang PDRM pada perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini, malam tadi.  

Skuad diberi jolokan The Fighters itu bermula mengecewakan apabila pemain PDRM, Mohamad Arif Mat Asin membuka tirai jaringan hanya selepas 30 saat wisel permainan ditiup pengadil, M Jeevanathan.  

Jaringan itu berpunca kesilapan pemain tengah, Stuart Wak apabila hantaran lemahnya kepada penjaga gol, Mohd Farizal Harun disambar Mohamad Arif yang tenang menyumbat gol ke gawang tuan rumah.  

PDRM yang dalam misi mengutip tiga mata untuk mengejar kedudukan kedua Liga Perdana terus melancarkan serangan bertali arus sekali pun mendahului dan ia berhasil apabila meledak gol kedua juga menerusi Mohamad Arif pada minit ke-22.  

Gol itu sekali lagi berpunca daripada kesilapan Stuart yang terlepas bola di kawasan sendiri sebelum Mohamad Arif lantas mengambil peluang untuk menewaskan Mohd Farizal yang keluar daripada gawangnya untuk mengeluarkan bola namun gagal.  

Tersentak dengan dua gol itu, skuad kendalian B Sathianathan menyusun semula jentera serangannya menerusi gandingan Wan Zack Haikal Wan Nor, Thiago Augusto Fernandes dan Gilberto Valdenesio Fortunato.  

Pada minit ke-36, FELDA United dianugerahkan penalti selepas bola sepakan Wan Zack Haikal terkena tangan Muhammad Amer Syafeeq Aziz.  

Penalti itu disempurnakan Thiago Augusto yang menewaskan Mohd Sheril Anuar Sani sekali gus menyuntik semangat pasukan FELDA United untuk mencari jaringan penyamaan.  

Bersambung babak kedua, Sathianathan membuat percaturan baharu dengan memasukkan pemain lincah, Christie Jayaseelan yang menggantikan Ahmad Syamim Yahya.  

Ia membuahkan hasil apabila FELDA United berjaya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-51 menerusi Fortunato yang berpunca gerakan cantik Muhammad Danial Amier Norhisham dan Thiago Augusto di sebelah kiri gawang PDRM.

Kedua-dua pasukan berpeluang menambah jaringan tetapi ketumpulan jentera serangan menyaksikan tiada tambahan gol dapat disaksikan untuk perlawanan berakhir 2-2 sebelum piala Liga Perdana diserahkan kepada FELDA United yang disaksikan lebih 1,000 penyokongnya.

Keputusan penuh Liga Perdana

Sarawak 5 (Andrew Jean Baptiste, m34 (OG), Mateo Roskam, m47, Dzulazlan Ibrahim, m50/69, Bobby Gonzales, m79)  Terengganu FC II 2 (Haidir Suhaini, m54, Akanni Sunday Wasiu, m74)

Felda United 2 (Thiago Augusto, m36, Gilberto Fortunato, m52) PDRM 2 (Arif Mat Asin, m1/22)

UiTM 0 JDT II 2 (Darren Lok, m44/55)

 

 

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 12:37am
d