utama

Selesa kawan dengan Aidil

Oleh Najiy Jefri

Menyatakan cinta bukan satu hal yang mudah kerana bersamanya ada janji untuk terus menjaga dan membawa perhubungan ke fasa lebih serius. Meskipun tampak bahagia, Fasha Sandha enggan meraikan cintanya selepas pelakon Aidil Aziz menyatakan rasa sayang dan kasih terhadapnya. Fasha berkata, sebagai wanita tidak manis untuk dia mengulas lanjut mengenai status hubungan mereka, namun mengakui Aidil teman rapatnya saat ini.

“Jawapan saya masih sama seperti sebelum ini. Saya lebih selesa meletakkan status kami sebagai teman rapat.

"Bagi saya, persahabatan lebih berkekalan. Mengenai perkara lain, biarlah Aidil sendiri yang ulas kerana lebih manis lelaki buka mulut,” katanya.

Fasha turut mengakui selesa dengan sikap sederhana jejaka yang dikenalinya sejak enam bulan lalu itu selain faktor masih bujang dan bukan kepunyaan sesiapa.

“Saya selesa berkawan dengan Aidil kerana dia seorang yang sederhana dan ada pegangan agama yang kuat.

“Selain itu, statusnya yang bukan duda atau suami orang membuatkan saya tidak berasa takut untuk mengenalinya lebih dekat,” katanya.

Menyusuri hari-hari sebagai ibu tunggal selama lebih dua tahun, Fasha berkata dia tidak pernah serik dengan kegagalan rumah tangga yang dibina bersama Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Sebaliknya wanita yang terkenal menerusi drama Teratai Kemboja itu sedar setiap peristiwa pahit dan manis sudah tertulis dan sehingga kini dia masih membuka pintu hatinya untuk menerima kehadiran insan lain.

Namun, tatkala hatinya dikatakan sudah dimiliki, wanita berusia 34 tahun itu belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri.

“Selepas dua tahun tujuh bulan bercerai, saya belum terfikir untuk menjadi isteri kerana lebih selesa hidup begini. Saya dapat fokus kepada anak dan kerja.

“Bagaimanapun, saya serahkan soal jodoh kepada ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Dia sebaik-baik perancang," katanya.

Melihat kemesraan Aidil yang pandai mengambil hati dua cahaya matanya, Putra Rayfal, 4, dan Putri Raysha Jemyma, 3, Fasha mengaku gembira dan terkejut dengan keintiman mereka.

“Anak sulung saya, Putra Rayfal peramah dan mudah bergaul. Berbeza dengan Putri Raysha Jemyma yang susah mesra dengan sesiapa pun.

“Saya terkejut apabila Jemyma suka dan rapat dengan Aidil. Barangkali Aidil sudah biasa dengan kanak-kanak kerana ada tiga anak saudara, mereka mudah rapat,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 3:19am
d