utama

Aidil dahulukan keluarga

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Mula bertemu dan bekerjasama sewaktu menjayakan sitcom Mami Mamu Gosip yang diterbitkan produksi milik Fasha Sandha membuahkan bibit cinta antara pelakon Mohd Aidil Abdul Aziz, 30, dengan aktres popular itu.

Selepas enam bulan berkawan rapat, Aidil dan Fasha mula bersikap terbuka dengan peminat apabila berkongsi cerita mengenai hubungan mereka.

Bukan itu saja, kedua-duanya kerap memuat naik gambar bersama di laman sosial dan keakraban mereka bukan lagi rahsia.

Majoriti peminat menyambut baik hubungan Aidil dan Fasha. Malah, perhatian mula diberikan apabila timbul cerita pasangan ini akan mengikat tali pertunangan pada hari ulang tahun kelahiran Aidil iaitu 26 Julai ini dan bernikah tahun hadapan.

Namun, apabila ditanya mengenai kedudukan hubungan itu dan benarkan mereka akan bertunang dalam waktu terdekat, Fasha lebih senang menyerahkan perkara itu kepada Aidil untuk menjawabnya.

Ditemui baru-baru ini, Aidil mengakui sayangkan hubungan mereka dan Fasha wanita paling rapat dengannya ketika ini.

“Saya sayangkan hubungan ini dan sebaik mungkin saya tidak mahu menyakiti hati Fasha. Saya memang sayangkan dia,” katanya.

Menjelaskan kenyataan diberikan Fasha yang meminta agar rakan media bertanya kepada Aidil mengenai perancangan pernikahan, kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Saiful Nita itu, tidak tidak mahu terburu-buru.

“Bukan saya tidak mahu bercerita mengenainya tetapi bagi saya tidak manis andai perkara besar seperti ini diuar-uarkan kepada umum sedangkan keluarga kedua-dua pihak belum mengetahuinya lagi.

“Saya tidak mahu membelakangkan keluarga apabila membabitkan soal pernikahan. Apatah lagi ini adalah satu langkah besar dalam hidup saya dan Fasha,” katanya.

Bagaimanapun kata Aidil, memandangkan hubungannya dengan Fasha sudah masuk ke fasa serius, sudah tentu dia mahu kisah cinta mereka berakhir di jenjang pelamin.

“Seperti yang saya katakan tadi, kalau boleh saya tak mahu bercakap lebih mengenai perkara ini. Bagi saya ruang. Niat baik yang mahu diambil ini, kami kena dahulukan keluarga. Baik saya mahupun Fasha, keluarga sangat penting buat kami,” katanya.

Fasha baik hati

Sewaktu mula mengenali Fasha ketika menjayakan Mami Mamu Gosip, Aidil dikatakan memanggil Fasha bos. Mengimbas kembali detik itu, Aidil berkata ia hanyalah gurauan untuk memeriahkan suasana kerja.

“Sebenarnya semua yang terbabit dalam sitkom itu memanggil Fasha bos. Ia gurauan kami di lokasi penggambaran. Tambahan pula Mami Mamu Gosip diterbitkan produksi Fasha, FS Creative Sdn Bhd,” katanya.

Ditanya apa yang membuatkan hatinya terpaut kepada Fasha, kata jejaka dari Seri Kembangan, Selangor itu kekasihnya baik hati.

“Walaupun Fasha seorang pelakon popular dan dikenali ramai, dia tidak pernah meletakkan dirinya di tempat tinggi. Fasha juga bukanlah wanita yang materialistik. Dua perkara ini membuatkan saya selesa apabila ada dengannya,” katanya.

Sambungnya lagi, Fasha juga penyayang dan prihatin terutama terhadap keluarga serta rakan.

Saat diaju soalan andai benar jodohnya dengan Fasha, adakah dia bersedia memikul tanggung jawab sebagai bapa ‘segera’ kepada dua cahaya mata Fasha, katanya perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada takdir.

“Soal jodoh dah berumah tangga ini sebenarnya bukan saja Fasha tetapi sesiapa juga jodoh saya yang Allah tentukan. Andai tiba masanya, saya harus bersedia.

“Tidak kira sama ada saya bernikah dengan anak dara atau ibu tunggal yang mempunyai anak, andai itu ketetapannya ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan amanah itu dengan baik.

“Sebagai manusia kita tidak sempurna tetapi sebagai lelaki dan ketua keluarga saya akan melaksanakan tanggungjawab yang digalas sebaik mungkin.

“Dalam hidup bukan kita boleh minta apa yang kita mahu tetapi saya tahu Allah adalah sebaik-baik perancang dan apa yang didatangkan dalam hidup itu adalah yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 3:27am
d