utama

Langkah amaran awal

Oleh Saffeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Tinjauan dilakukan di beberapa lebuh raya mendapati pengendalinya mengambil langkah sepatutnya ketika kerja penyelenggaraan dijalankan di laluan berkenaan.

Ketika tinjauan dilakukan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras, kelmarin, wartawan mendapati pihak berkenaan mengambil langkah sewajarnya dan mematuhi peraturan dengan memaklumkan pengguna mengenai kerja penurapan serta penyelenggaraan jalan yang dilakukan.

Ada papan tanda amaran dipasang dalam jarak satu kilometer bagi memaklumkan mengenai kerja yang dijalankan.

Selain papan tanda amaran biasa, papan tanda amaran elektronik yang dipasang di lebuh raya itu turut memaklumkan mengenai kerja yang sedang berjalan.

Ia sekali gus dilihat memberi kelebihan kepada pemandu untuk mula memperlahankan kenderaan mereka dan bersedia menukar lorong.

Selain itu, tinjauan dilakukan satu jam bermula pada jam 12 tengah malam, mendapati laluan kedua-dua arah berhampiran lokasi kemalangan yang mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga, awal pagi Jumaat lalu, dalam keadaan lancar dan terkawal.

Secara keseluruhan, pihak pengurusan Grand Saga didapati sentiasa peka dalam sebarang kerja pembaikan atau penyelenggaraan yang dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya di kawasan mereka sentiasa diutamakan.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan tidak menemui sebarang kerja pembersihan dilakukan kenderaan berat seperti lori yang dirempuh dari belakang oleh mendiang Tien Chee.

Sementara itu, tinjauan di Lebuhraya Loke Yew dari Pandan Jaya ke Jalan Sungai Besi mendapati keadaan hampir sama dilakukan pihak pengurusan lebuh raya berkenaan.

Di satu laluan berselekoh, pihak pengurusan meletakkan puluhan kon dari jarak 100 meter sebelum kerja penyelenggaraan dibuat di lebuh raya berkenaan berhampiran Taman Shamelin, Cheras.

Pengguna lebuh raya yang secara kebiasaan memandu dalam keadaan laju khususnya pada tengah malam berikutan tidak banyak kenderaan lain dapat bersedia untuk memperlahankan kenderaan mereka ketika melalui kawasan pembaikan jalan.

Begitu juga ketika tinjauan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dari arah Jalan Semarak menghala ke Jalan Duta, tiada sebarang kerja pembersihan atau penyelenggaraan dibuat.

Namun, beberapa kon dilihat diletakkan di pembahagi jalan dipercayai untuk proses tidal flow pada hari bekerja.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 3:59am
d