utama

'Bab jawapan menganjing ni dari zaman sekolah' [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

Dilabel poyo, macam bagus dan gila glamor tidak mematahkan semangat Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias, 37, untuk terus berdakwah menggunakan konsep baru yang lebih mesra orang muda.

Malah, dengan menggunakan bahasa sempoi atau hipster untuk menarik anak muda memahami hukum Islam, ia ternyata berkesan bahkan semakin hari, jumlah pengikut di laman sosial miliknya terus meningkat dengan semuanya berminat untuk bersoal jawab mengenai hukum agama.

Tidak hairanlah jika pendakwah berkelulusan dari Mesir itu menerima kecaman lantaran gayanya yang bersahaja ketika bersiaran langsung dalam kuliahnya hampir setiap hari.

Mahu melihat Islam terus unggul antara harapannya sebelum menutup mata serta banyak lagi hasrat yang dikongsikan bersama wartawan SURAYA ROSLAN dan YUSMIZAL DOLAH ALING bersama jurukamera MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT serta juruvideo MOHD KHAIRUS RAMLI untuk Kafe Ahad minggu ini.

Ramai berpandangan kaedah untuk belajar ilmu agama hari ini sudah lari daripada apa yang dipraktikkan generasi sebelum ini, ustaz tampil dengan cara baru dengan aktif di Instagram (IG), boleh komen?

Saya menyedari agak aktif dalam socmed (media sosial) terutama Instagram. Saya ada Facebook (FB) peribadi juga ‘page’ yang diuruskan admin, saya aktif IG dan satu lagi Twitter.

Setakat saya perhatikan majoriti pengguna IG sekitar umur remaja atau BBNU (budak-budak baru nak up), lingkungan umur tahun enam sehingga 20-an, lebih kurang 80 peratus, ada juga mak cik dan orang dewasa, tetapi majoriti di FB kerana persembahan di FB lebih skema, lebih tersusun, artikel panjang, tetapi IG ini bersifat sederhana. Disebabkan pasaran yang menuntut saya berhubung dengan masyarakat IG menggunakan bahasa sempoi atau bahasa hipster, jadi memang masuk ke dalam mereka dan saya perlu buat kajian di IG dengan mengkaji bahasa mereka cakap, mazhab dan aliran mereka yang muncul mutakhir ini.

Tetapi mesti ada sempadan. Pendekatan saya apabila berkait hukum untuk terang kepada mereka, kita perlu faham remaja ini mereka tidak suka dengar perkataan haram atau tak boleh, tetapi kadang-kadang banyak benda dilakukan mereka itu memang tidak boleh.

Jadi kita kena gunakan ayat lembut atau berlapik untuk terangkan kepada mereka. Apabila kita kata bidang yang ‘engkau buat ini haram, jadi mereka akan kata sempitnya agama.’

Jadi kita sebagai pendakwah kena cari alternatif untuk gantikan maksudnya seperti hiburan memang dibenarkan dalam Islam, tetapi hiburan cara engkau ini haram, jadi cara engkau macam ini tak boleh tapi berhibur macam ini boleh.

Secara ringkasnya saya bercampur dan bercakap dengan mereka menggunakan bahasa mereka, kadang-kadang ada sebilangan meletakkan title ustaz itu kena cakap berlapik, ada zikir seumpamanya, saya nak terangkan kita kena jadi sebagaimana diri sendiri.

Bagaimana ustaz melihat fenomena percambahan ilmu agama selepas beberapa program realiti TV di Malaysia. Apakah kaedah konvensional akan hilang?

Alhamdulillah, seingat saya antara program realiti TV Pencetus Ummah pada 2011. Saya sendiri dalam pendidikan memang berlatar belakang secara tradisional gabungan dengan moden iaitu belajar kitab Taurat, kitab lama dan bahasa Arab.

Caranya pun dengan talaqi dengan tuan guru dan cara moden. Sebelum di Mesir, di Malaysia saya belajar di Maahad Ahmadi, di sekolah pun kami sudah belajar mukadimah sebagai persediaan menuntut ilmu di sana, itu satu sudut iaitu cara saya mencari ilmu dengan cara tersedia, kita tak boleh meninggalkan proses mencari ilmu dengan cara tradisional.

Sudut kedua bagaimana saya menggunakan apa yang saya belajar dan saya nak jelaskan bahasa lama kepada generasi yang memang tidak tahu bahasa itu dan mereka bergelumang dengan suasana moden, itu benda kedua dan paling mencabar.

Kita ingat apa yang kita belajar bahasa Arab letih, rupa-rupanya lebih letih dan mencabar ialah bagaimana kita nak masukkan bahasa tradisional kepada bahasa moden contohnya perbahasan air bab bersuci dalam fikah, air dua kolah atau dalam Arab qullah, tiba-tiba ada geng motosikal nak tanya air macam mana kita boleh, kita nak sebut perkataan qullah tidak sesuai jadi kita kena gunakan bahasa moden iaitu tukar kepada bahasa liter, berapa mililiter tetapi intipati sama. Kena ikut rentak mereka dan keadaan semasa.

Bagaimana kaedah ustaz untuk menarik golongan muda ke masjid?

Saya dan semua pendakwah bertanggungjawab tarik mereka ke masjid dan juga mengambil ilmu secara tradisional mesti menjadi sebahagian aktiviti hidup kita, nak tak nak proses penyampaian mesti dilakukan, kalau setakat nak menunggu budak remaja datang ke masjid baru nak sampaikan kepada mereka saya rasa benda itu tidak akan berlaku. Sesuatu perkara yang merencatkan proses dakwah, oleh yang demikian, saya sendiri turun padang, ramai lagi pendakwah lain turun padang maksudnya masuk dalam dunia mereka dan cuba menggunakan kaedah itu.
Sekarang ini mereka banyak lepak seperti nyanyian ‘nak ke tak nak lepak mamak’ semua itu, benda macam itu dan suasana sebegitu mereka selesa berbeza gambaran mereka kalau pergi masjid kena pakai jubah, pakai seluar jean tak boleh.

Mungkin sebahagian kalangan AJK masjid sporting dan ada juga AJK masjid agak tegas dalam benda ini dan beri persepsi negatif, tetapi tak apa benda macam ini kita tak payah fikir lebih, kita fikir inisiatif dan buat kerja dulu.

Bagaimana nombor telefon ustaz boleh didapati dengan mudah hingga pengikut boleh WhatsApp terus untuk bertanya soalan. Bagaimana ia boleh tersebar dan jadi medium untuk bersoal jawab?

Dulu Instagram kita tak adalah banyak (pengikut), jadi bila buat siaran langsung, paling banyak mungkin 30 hingga 40 orang, jadi boleh perhati satu-satu dan counter, selesa sangat jadi saya pun letak nombor telefon.

Saya jenis selesa kalau ada orang bertanya sesuatu, nak chatting rasa sakit jari nak menunggu jadi saya kata ‘engkau telefon aku sekarang atau engkau bagi nombor telefon, ustaz telefon engkau, senang nak bercakap.’

Kalau nak jumpa mungkin jauh jadi bercakap kita tahu dia boleh balas cepat dan kita tanya engkau faham ke tidak, itu yang mula saya letak nombor telefon sebab saya rasa benda itu tak memeningkan kepala.

Kemudian sampai satu tahap selepas saya keluar dari PU, pengikut saya meningkat sedikit dalam 60,000 orang.

Sampai satu tahap, saya mula buat jawapan ‘menganjing’, sebenarnya bab jawapan menganjing ni dari zaman sekolah mulut saya memang menganjing.

Orang kata mulut lahar sikit bercakap. Zaman sekolah SPM 1998 hanya bercakap, tak ada istilah nak chat semua itu, telefon pun saya tak ada. Jadi bila sekarang dapat rekod benda itu selepas itu dapat tangkap layar (screenshot) orang dapat tengok, tengok dia bagi jawapan macam ini, kalau cerita atas mulut orang tak dapat gambaran, jadi bahasa mulut saya gunakan dalam chatting menjadi tular tetapi saya terangkan selepas itu dalam keterangan (caption).

Benda ini tidak dirancang, bila agak sudah 10 tangkap layar, saya muat naik dan blog lawak ambil paparkan, sebab pasaran sekarang adalah konsep lawak. Program lawak orang akan cepat, tetapi sebenarnya saya tidak meletakkan objektif lawak itu dalam dakwah, tapi humor itu perlu ada, tetapi kita kena letak kayu ukur, Nabi pun ada sebut dalam satu hadis sahih “Sesungguhnya aku juga bergurau, bersenda, lawak tetapi aku tidak akan berkata selain sesuatu yang benar.”

Bagaimana ustaz mendisiplinkan diri supaya lawak yang dibuat tidak nampak keterlaluan dan adakah jawapan sinis ustaz menaikkan jumlah pengikut di Instagram?

Saya kena disiplinkan diri juga sebenarnya sebab kadang-kadang ikut rentak dan kalau tak buat lawak mereka tidak suka pula. Ini sesuatu bahaya buat diri saya dan boleh menjadi virus.

Tanpa disedari mereka pun kongsi tangkap layar perbualan di FB dan IG hingga cepat tersebar, maka itulah sejarah terjadi dalam tempoh sehari. Saya perasan satu hari dalam 80,000 naik pengikut, kemudian meningkat 100,000. Di situlah huru-hara dan pening kepala, hampir migrain, sebab saya jenis meletakkan prinsip kena layan juga mereka tapi kebolehan dan kemampuan terbatas.

Pernah diganggu peminat misteri, atau ada kes gangguan peminat yang ustaz ingat sampai hari ini?

Saya nak terjemah bahasa mereka secara umum, nak kata ajak kahwin dalam komen kadang-kadang mereka buat pick up line contohnya ‘semua benda saya tak sanggup tunggu kecuali ustaz saja’, jadi saya terjemahkan bahasa umum atau gurauan tapi saya tak tahu niat mereka.

Dari segi mesej langsung (DM) pun ada juga cuma saya tak ambil pusing walaupun kadang-kadang takut serius, dalam WhatsApp pun ada juga tapi bagi saya benda itu normal bagi orang yang dikenali.

Bagi saya ada benda lain perlu diselesaikan dan lebih penting untuk difikirkan. Jadi perkara begitu yang bagi sesetengah orang adalah berat, bagi saya tak adalah fikir berat sangat.

Pernah rasa rimas yang berlarutan bila diganggu peminat?

Rasa terganggu itu adalah sedikit, tetapi saya tidaklah marah mengamuk itu, tidaklah. Cuma saya takut dia menganggap mungkin ada sikap saya, kadang-kadang tak layan, tak balas saya takut ada harapan di situ. Macam mana saya nak cakap, saya takut ada istilah beri harapan, tiba-tiba ‘eh bila masa aku berjanji ni’, saya bimbang yang itu saja. Akhirnya bila dia cerita soal perasaan saya akan cepat alihkan soal berkaitan saintifik, ilmu, fikah, saya tidak menggunakan perkataan awak saya kerana lelaki dan perempuan memang saya layan sama rata. Penggunaan engkau aku, bagi sesetengah orang agak kasar, tapi bagi yang sudah faham saya, netizen yang selalu ikuti siaran langsung saya dia fahamlah.

Biasalah orang Negeri Sembilan ini mulut ‘podeh' tapi memang penggunaan itu menunjukkan saya nak rapat dan selesa dengan mereka. Saya anggap ia salah satu warna warni dalam kehidupan bersama mereka.

Apa kaedah lain untuk berdakwah secara moden selain melayani mereka di laman sosial?

Mana-mana saya pergi contohnya out station tempat jauh dalam tiga hari, mungkin saya lawat kawasan itu ada masjid dan sekolah, maka sekolah itu pelajar memang sudah ada, jadi bila saya menetap dekat situ saya akan katalah lepas ceramah pagi, malam ini siapa nak lepak, mereka akan datang lepak , itu satu.

Saya terbabit dengan industri lakonan sebagai sampingan mungkin orang nampak klise iaitu ustaz mesti serban kopiah dan sekian-sekianlah, saya terbabit dengan drama, baru-baru ini pun saya terbabit dalam Ustaz Evo Series, satu rancangan bersiri dengan konsep penerangan agama agak hipster. Dekat sini saya nampak ada tarikan untuk kanak-kanak. Baru-baru ini saya pergi rumah terbuka ada kanak-kanak tegur Ustaz Evo, dekat situ ada pasarannya.

Apabila sudah popular, adakah ustaz OK jika orang panggil ‘bro’, abang dan bukannya ustaz atau PU Azman?

Sebenarnya ada juga dalam kalangan haters atau orang yang lebih dewasa dari saya yang kenal saya masih panggil begitu, tetapi itu bergantung kepada saya bagaimana saya persembahkan diri kepada mereka.

Saya pun tak dapat nak agak apakah tujuan di sebalik mereka memanggil begitu, marahkan sesuatu atau hilang hormat atau mereka merasakan dengan cara itu lebih rapat.

Saya perlu mendisiplinkan diri untuk bersikap terbuka dengan masyarakat dengan pelbagai orang, mungkin kita dekat Malaysia ini budaya kalau hormat perlu panggil abang, kalau orang itu belajar agama kena panggil ustaz, tak adalah saya nak letakkan (pemikiran) sempit seperti itu, kadang-kadang ada yang minta izin dengan saya nak panggil ‘bro’ sebab rasa lebih dekat, saya tiada masalah. Setiap kali ceramah saya kadang-kadang pakai jubah dan seluar slim fit dengan baju Melayu serta kopiah, ada pun syarat dalam dakwah dengan pakaian bukan syarat utama yang penting kita menutup aurat dengan sempurna.

Jangan disebabkan budak ini pakai seluar jean, engkau halang dia masuk ke masjid, jangan kerana pendakwah itu ada kesilapan mungkin dia pakai topi engkau tak nak dengar dakwah dia. Lihatlah apa yang diberikan atau cakap dan jangan lihat siapa yang bercakap, kebenaran itu boleh lahir dari semua pihak.

Semua orang ada harapan dalam hidup. Bagi ustaz, apakah yang ustaz ingin lihat sebelum menutup mata?>

Kata seorang ulama, nyawa manusia ini seperti lilin dan bila-bila masa boleh terpadam. Kadang kita punya perancangan, tapi belum mula lagi kita sudah tiada. Saya fokuskan setakat yang wujud di dunia ini cuba tumpukan apa yang saya boleh buat dengan tepat dan terbaik. Pendirian saya, apa yang saya pakar saya tumpukan yang itu di samping yang sikit-sikit saya gunakan masa untuk memikirkan kreativiti dengan cara yang lain. Zaman semakin moden teknologi semakin banyak maka medium dakwah pastinya semakin banyak alternatif. Tetapi objektifnya tetap sama seperti Nabi Muhammad SAW bawa, tujuan saya atau setiap pendakwah sebelum mereka menutup mata pastinya mahu melihat pelaksanaan Islam itu mesti sama dan tepat seperti dibawa Baginda dengan cara menepati syarak. Kita kena faham niat tidak menghalalkan cara, cara itu pelbagai tetapi masih lagi dalam bimbingan al-Quran dan sunah, itu impian saya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 4:36am
d