utama

'Larikan' 800

Oleh Reuters

Amman: Jordan semalam berkata, 800 orang kumpulan pertahanan awam White Helmet dipindahkan dari barat daya Syria di mana pasukan tentera Damsyik semakin mara terhadap pemberontak.

Jurucakap kementerian luar Jordan berkata, kerajaan membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguruskan kemasukan dan laluan 800 anggota pertahanan awam Syria.

Menurut Mohammad al Kayed, Jordan bersetuju terhadap permintaan oleh Britain, Jerman serta Kanada untuk memberi suaka sementara sehingga mereka dipindahkan ke negara Barat atas dasar kemanusiaan.

Menurutnya, mereka yang dipindahkan itu akan ditempatkan di lokasi rahsia dengan tiga negara terbabit bersetuju menempatkan mereka semula dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, nyawa mereka terancam selepas tentera kerajaan berjaya menawan beberapa kawasan pemberontak di selatan Syria.

Tentera Israel sebelum itu mendakwa berjaya melakukan usaha kemanusiaan untuk ‘menyelamatkan anggota organisasi awam Syria serta keluarga mereka disebabkan ancaman terhadap nyawa mereka.’

Ia menambah, kumpulan itu dipindahkan ke negara jiran tanpa menamakannya.

Sabtu lalu, tentera Israel menutup laluan di Bukit Golan menjelang operasi berkenaan.

Kumpulan White Helmets secara rasmi dinamakan Pertahanan Awam Syria, terkenal dengan topi keledar putih dipakai mereka.

Kumpulan itu melaksanakan operasi menyelamat di kawasan ditawan pemberontak di Syria selepas penempatan penduduk disasarkan pesawat pejuang.

Mereka dipuji kerana usaha yang berjaya menyelamatkan ribuan nyawa.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 9:27am
d