utama

Riuh menyapa siapa saja

Oleh Nur Saliawati Salberi

Jasin: Tatkala melihat tetamu berjalan ke arah rumahnya, gelagat anak istimewa, Nur Hasyimah Salleh riuh menyapa walaupun hanya dia yang memahami butir percakapannya itu.

Nur Hasyimah, 28, disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) ketika berusia lapan bulan akibat sering diserang penyakit sawan.

Akibatnya, dia membesar tidak seperti kanak-kanak normal lain, malah anak kedua daripada lapan beradik itu tidak mampu berjalan sebaliknya hanya merangkak untuk bergerak.

Ibunya, Norepah Jantan, 52, berkata, dikurniakan anak istimewa bukan tugas mudah buatnya kerana selain Nur Hasyimah, dia dan suami, Ruslan Busu, 57, perlu memberikan perhatian kepada anak yang lain.

Menurutnya, walaupun Ruslan hanya bapa tiri kepada Nur Hasyimah, dia tidak pernah membezakan kasih sayang mahupun merungut kerana perlu membesarkan anaknya itu.

“Walaupun keadaan dia sedemikian, kami sekeluarga langsung tidak rasa terbeban menjaganya, malah kehadiran Nur Hasyimah menceriakan keluarga.

“Tipulah jika saya katakan tidak berdepan masalah menjaganya, apa yang penting sebagai ibu saya perlu bersabar melayan kerenahnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Batang Melaka Baru di sini, semalam.

Norepah ditemui selepas menerima kunjungan daripada wakil Usahawan Koperasi Melaka dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Wanita Cawangan Ayer Molek yang menyumbangkan barangan keperluan asas, termasuk beras, gula dan tepung.

Katanya, walaupun anaknya itu tidak mampu berjalan dan masih merangkak, dia tidak malu untuk membawa Nur Hasyimah keluar bersiar.

“Ketika dia masih kecil, saya ada mengajar dan membantunya untuk berjalan namun tidak berjaya.

“Suaranya yang kuat menyapa sesiapa saja ketika di luar membuatkan orang ramai menoleh ke arahnya, mereka yang faham akan bersikap seperti biasa, tetapi yang kurang faham pula sebaliknya,” katanya.

Jika berada di luar, anaknya perlu ditemani adik yang lain dan tidak boleh ditinggalkan bersendirian kerana sering diserang sawan.

“Apa yang membimbangkan saya, dia sering diserang sawan, boleh dikatakan setiap hari dan keadaan itu sukar diramal kerana berlaku secara tiba-tiba.

“Walaupun berhasrat mahu keluar mencari pendapatan sampingan bagi membantu keluarga, keinginan itu dilupakan memikirkan keadaan Nur Hasyimah,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 9:47am
d