utama

Universiti boleh tunggu, saya nak haji dulu...

Oleh Samadi Ahmad

REMAJA sanggup menolak tawaran menyambung pengajian di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak kerana mahu bergelar haji pada usia muda.

Muhammad Taqiuddin Masri, 18, dari Batu Pahat, Johor berkata, dia bersyukur dan gembira apabila terpilih menjadi tetamu Allah S.W.T pada usia muda selain dapat menemani ibu saudaranya.

"Saya sepatutnya menyambung pengajian di Politeknik Sultan Azlan Shah pada bulan ini," katanya ketika ditemui sebelum berangkat ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji di Sepang, semalam.

Katanya, dia dipilih menjadi pengiring kepada ibu saudaranya, Maskiah Buang, 59, yang tidak mempunyai peneman untuk menunaikan haji memandangkan bapa saudaranya sudah meninggal dunia pada 2007.

Muhammad Taqiuddin berkata, dijemput menjadi tetamu Allah S.W.T untuk menunaikan haji di usia muda menjadi anugerah terindah buatnya.

"Saya berharap tidak berdepan masalah kerana sebelum ini pernah mengerjakan umrah sebanyak dua kali bersama ibu dan bapa," katanya.

Anak bongsu dari lima beradik itu berkata, tabungan bagi mengerjakan haji ini dibuat oleh kedua ibu bapanya sejak kecil dan mereka turut membantunya membuat persiapan untuk menunaikan haji kali ini.

Katanya, dia turut mengikuti kursus haji bagi menambah kefahaman terhadap Rukun Islam kelima itu dan berharap dapat melaksanakan segala rukun haji dengan sempurna.

"Saya turut gembira kerana sebelum berangkat, saya menerima tawaran menyambung pelajaran di universiti swasta dan Alhamdullilah mungkin itu hikmah selepas menolak permohonan yang pertama," katanya.

Sementara itu, Maskiah berkata, dia menunggu giliran selama 18 tahun sebelum mendapat panggilan menjadi tetamu Allah S.W.T.

"Anak saya turut membuat rayuan untuk menjadi pengiring, namun tidak mendapat kelulusan daripada Tabung Haji disebabkan belum cukup tempoh.

"Saya bersyukur kerana Muhammad Taqiuddin mendapat tawaran untuk bertolak pada tarikh yang sama sekali gus dapat membantu saya sepanjang berada di sana.

"Walaupun impian menunaikan haji bersama arwah suami tidak tercapai namun, saya tetap mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam golongan yang beriman," katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 3:33pm
d