utama

Sampai hati kau, isteri...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIDAK tahan dengan bau kencing si suami yang sedang terlantar sakit, wanita hilang pertimbangan apabila memukul dan menendang lelaki terbabit dalam kejadian di Kampung Gong Pasir, Jertih, Jumaat lalu.

Wanita berusia 44 tahun itu tergamak memukul suaminya berusia 75 tahun menggunakan penyapu dan menendang kepala serta punggung lelaki itu bagi melepaskan marah.

Malah, wanita itu turut mengacukan pisau ke arah anak perempuannya berusia 14 tahun yang cuba menghalang perbuatannya dalam kejadian kira-kira 7 malam itu.

Sumber berkata, suspek dikatakan memarahi mangsa yang terlantar sakit kerana tidak tahan dengan bau kencing.

"Kekecohan yang berlaku disedari anak perempuan mangsa yang cuba menghalang perbuatan suspek sebelum berlaku pergelutan antara dua beranak itu.

"Suspek yang bengang dengan tindakan anaknya itu bertindak mengambil pisau lalu mengacukan senjata itu ke arah anaknya.

"Anak mangsa dikatakan meminta bantuan sepupunya sebelum sepupunya itu membawa dua beranak terbabit berlindung di rumahnya di Kampung Amir, di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan, Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek ditahan di rumahnya kira-kira 11 malam pada Sabtu lalu, susulan laporan dibuat anaknya di Balai Polis Kampung Raja.

Katanya, suspek direman tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 6:29pm
d