utama

Kini lebih tenang

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun tiada lagi hubungan istimewa di antara mereka, dakwaan ‘masih rapat’ tetap diperkatakan segelintir pihak.

Enggan melatah dengan perkara itu, penyanyi Sufian Suhaimi, 26, tegas menafikannya dengan tenang.

Menurut Sufian yang popular dengan single Di Matamu, dia dan bekas tunangnya, pelakon Elfira Loy, 24, sudah lama tidak berhubung.

“Kami sudah ‘move on’ dan sudah lama pun tidak menghubungi di antara satu sama lain. Jadi, kenapa masih dikaitkan?

“Lagipun, buat apa saya atau dia nak terus berhubung kerana kami sudah tiada apa-apa ikatan.

“Saya solo sekarang dan untuk pengganti pun belum terfikir kerana lebih tenang serta lagi okey,” katanya.

Tidak menyimpan segala-galanya dalam hati, pemuda kelahiran Johor itu memberitahu kehidupannya baik-baik sahaja.

Bersikap terbuka dan positif, ujarnya perkara sedih itu pun sudah lama diselesaikan secara baik.

Ditanya mengenai kriteria wanita pilihannya selepas ini mungkin agak ketat akibat kekecewaan itu, Sufian senyum dan ketawa.

“Tidak perlu rasanya untuk saya letak kriteria yang ketat. Pada saya kalau dah sama-sama suka, suka sajalah.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang saya mahu fokus karier seni kerana jadual pun makin padat.

“Alhamdulillah, rezeki semakin murah dan ia peluang terbaik untuk memantapkan karier,” katanya.

Mengulas soal single terbaru, Sufian memberitahu dia sudah ada beberapa lagu untuk diketengahkan.

Cuma, dia tidak mahu terburu-buru memandangkan single Di Matamu kini masih jadi perhatian.

“Terima kasih kepada pendengar yang terus memberi sokongan yang baik terhadap Di Matamu.

“Setakat ini, Di Matamu masih kekal dalam carta lagu utama di radio dan saya akan giatkan promosi.

“Namun, untuk single terbaru saya lihat dulu keadaannya macam mana dan kena cari masa yang tepat untuk diperkenalkan,” kataya.

Giat juga dengan aktiviti kerja belakang tabir, selain menyanyi Sufian turut berbakat dalam penciptaan lagu.

Menyentuh pembabitannya dalam satu program realiti TV untuk penyanyi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU), Sufian berkata dia tidak menyertainya.

“Saya memang dapat tawaran untuk sertai program itu tetapi jadual karier pula padat dan terlalu sibuk.

“Sukar untuk saya memberikan komitmen selama beberapa bulan untuk program itu dan lebih baik tidak menyertainya.

“Daripada akan memberi kerumitan kepada produksi, saya menerusi pihak pengurusan sepakat tarik diri,” katanya.

Menganggap program realiti TV itu platform terbaik untuk penyanyi BBNU, Sufian berkata ia pentas menonjolkan bakat yang baik buat penyanyi baru.

Selesa imej berjambang

Bersua dengan Sufian pada Ramadan dan Aidilfitri lalu, dia kelihatan lebih kemas apabila mencukur jambang di wajahnya.

Namun, melihat penampilan terbarunya kini, penyanyi lagu Terakhir dan Terasa Ada itu tampil dengan imej berjambang.

Berbicara mengenai imejnya itu, Sufian mengakui selesa dengan penampilan berjambang.

“Saya tidak kisahlah dengan apa yang orang nak kata dengan imej ini (jambang) kerana yang pasti saya selesa.

“Malah, saya juga tak tiru imej sesiapa. Saya suka dan selesa begini,” katanya.

Sufian berkata dengan imej jambang itu dia kelihatan lebih matang dan sesuai dengan usianya.

“Dengan adanya jambang taklah nampak sangat muka jambu macam kawan saya, Aiman Tino,” katanya seraya ketawa.

Sufian yang suka berjenaka memberitahu dia dan Aiman suka berbincang dan bertukar pendapat sesama sendiri.

Ujarnya, hubungan baik dan rapat itu membuatkan mereka berdua saling membantu karier seni masing-masing.

“Aiman kawan yang rapat dengan saya. Kami saling membantu di antara satu sama lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 9:03am
d