utama

1,000 penduduk hilang tempat tinggal

Oleh Norasikin Daineh

HAMPIR 1,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 150 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cenderamata 2, Likas, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain, selain diperbuat daripada papan.

Difahamkan, seorang wanita melecur di bahagian belakang badan akibat kejadian itu, namun tiada membabitkan kehilangan nyawa.

Kebanyakan penghuni tinggal sehelai sepinggan apabila tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk perabot serta peralatan rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Kota Kinabalu, Hamsah Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.17 petang sebelum menghantar lima jentera bersama 41 anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, 10 rumah telah terbakar bagaimanapun jarak rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan pantas.

"Bagaimanapun, api berjaya dikawal pada 3 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 3.52 petang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Hamsah, pihaknya turut berhadapan dengan kesukaran ketika memadamkan kebakaran.

"Antaranya, rumah dibina dengan terlalu rapat sehingga menyukarkan anggota bomba mengawal api, laluan yang sempit dan orang terlalu ramai," katanya.

Hamsah berkata, pihaknya turut menerima bantuan daripada pasukan bomba sukarelawan kampung terbabit dan penduduk kampung.

"Penduduk kampung ramai yang cuba membantu memadamkan kebakaran, namun pihak bomba ada prosedur dalam memadam api bagi menghalang kebakaran merebak.

"Oleh itu, kerjasama daripada penduduk sangat diperlukan sekiranya berlaku kebakaran seperti ini," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 6:06pm
d