utama

Ratusan hilang, empangan pecah [METROTV]

Oleh Reuters

SEKURANG-KURANGNYA 100 hilang selepas empangan jana kuasa hidro di Laos pecah, lapor media tempatan hari ini.

Empangan itu pecah, 8 malam semalam sehingga menyebabkan air dianggarkan lima bilion meter padu melimpah dan ratusan orang hilang serta banyak rumah dihanyutkan, lapor Lao News Agency.

Syarikat yang membina empangan itu berkata, hujan lebat dan banjir menjadi punca struktur itu runtuh dan ia sedang bekerjasama dengan kerajaan Laos untuk menyelamatkan penduduk beberapa kampung berhampiran empangan itu.

“Kami mengerahkan pasukan kecemasan dan merancang untuk membantu memindahkan penduduk berhampiran empangan ini,” kata jurucakap SK Engineering & Construction menerusi telefon.

Sementara itu, ABC Laos melaporkan, pihak berkuasa menghantar bot untuk membantu memindahkan penduduk di daerah San Sai dalam wilayah Attapeu di tenggara negara itu ketika paras air meningkat selepas empangan runtuh.

Ia bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut berhubung insiden itu.

Satu video dihantar rangkaian berita itu di Facebook menunjukkan penduduk kampung berhenti untuk menyaksikan air yang mengalir deras dari bahagian tepi tebing sungai.

Kumpulan hak asasi alam sekitar sekian lama menyuarakan kebimbangan berhubung cita-cita Laos membina loji jana kuasa hidro, termasuk kesan empangan itu terhadap Sungai Mekong, flora dan fauna, masyarakat luar bandar dan ekonomi tempatan yang bergantung terhadapnya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 8:46pm
d