utama

Pencemar alam

Oleh Ruwaida Md Zain

Kuala Langat:Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Kilang Haram di beberapa lokasi di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Mereka ditahan di salah satu daripada tujuh kilang haram yang disita dalam operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir 6 petang, semalam.

Menurut Ketua Imigresen Pelabuhan Klang, Sayed Abdul Rahman Sayed Mahmud, seramai 16 warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia ditahan dalam operasi berkenaan.

“Ketika ditahan semua PATI itu sedang bekerja di kilang terbabit dan mereka patuh dengan arahan kami (tidak melawan),” katanya.

Tinjauan NSTP mendapati, ketujuh-tujuh kilang kitar semula plastik yang beroperasi itu berada dalam keadaan kotor, busuk, memualkan selain longgokan plastik yang hendak diproses bercampur dengan sampah.

Ada yang dibina di kawasan ladang kelapa sawit serta di kawasan semak dan tersorok, malah beberapa kilang juga terpaksa diumpil dan dipecahkan pintunya.

Ketika operasi dijalankan, semua pekerja di enam daripada tujuh kilang terbabit dipercayai berjaya melarikan diri.

Pihak MDKL memaklumkan, semua kilang haram yang disita itu sudah diberikan notis amaran sebelum ini dan operasi juga dijalankan berdasarkan aduan umum kepada MDKL.

Selain itu, bekalan elektrik dan air juga dipotong serta-merta ketika operasi terbabit.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han yang turut serta dalam operasi berkata, kilang haram seperti itu tidak sepatutnya wujud di Selangor.

“Melihat keadaan kilang itu, saya terkejut kerana ia sangat teruk dan langsung tiada langkah keselamatan serta sangat berbahaya kepada pekerja.

“Kilang seperti ini tidak sesuai dan tidak patut ada di Selangor malah mencemarkan alam sekitar.

“Kita tidak akan membenarkan kilang seperti ini wujud, pihak terbabit perlu segera menghentikan operasi dan bersihkan tapak kilang sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San dan Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Ng berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap aktiviti yang menyebabkan pencemaran.

Operasi bersepadu itu membabitkan 100 pegawai, kakitangan serta penguat kuasa pelbagai agensi termasuk MDKL, Imigresen Pelabuhan Klang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Kastam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Kuala Langat dan Syarikat Air Selangor.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 9:26am
d